PENGENDALI skuad bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam, Osmera Omaro menegaskan pasukannya masih perlu memperkemaskan beberapa elemen permainan biarpun berjaya membuka kempen Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) dengan kemenangan bergaya.
Juara bertahan itu membuktikan taring apabila merangkul Piala Sumbangsih selepas menundukkan SMK Dato’ Harun 5-1 pada aksi pembuka tirai di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Selangor pada Khamis.
Menurut Osmera, aspek kawalan keseluruhan permainan masih menjadi perhatian utama meskipun jentera serangan berfungsi dengan baik.
“Bahagian depan kita tajam dengan barisan pemain berkualiti yang berjaya menterjemahkan peluang kepada jaringan.
“Namun secara keseluruhan saya masih belum berpuas hati kerana ada pemain membuat keputusan kurang bijak hingga menyebabkan mereka cepat keletihan apabila gagal mengawal tempo permainan.
“Apapun, saya percaya kami mampu memperbaiki keadaan untuk menghadapi saingan padat Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 musim ini,” katanya.

Vincenzo menyumbat dua gol buat SMK Shah Alam. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib
SMK Shah Alam musim ini diundi dalam Kumpulan A bersama SMK Bukit Rahman Putra, SMK Sultan Abdul Samad dan SMK Telok Panglima Garang, di tanya peluang Osmera berkata: “Insya-ALLAH, saya yakin SMK Shah Alam miliki pakej untuk mara ke pusingan seterusnya dengan kualiti barisan pemain dimiliki musim ini.”
Dalam perlawanan pembuka tirai itu, anak buah Osmera tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan menerusi jaringan awal Vincenzo Oliveo D’Dozzel Donny seawal minit keempat sebelum Muhammad Hadif Mohamad Hazzuar menggandakan kedudukan enam minit kemudian.
Vincenzo sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyumbat gol kedua peribadinya pada minit ke-16 sebelum Muhammad Danish Harith Muhammad Zakri menambah derita lawan dengan gol keempat minit ke-19 untuk mengukuhkan cengkaman tuan rumah.
Pasukan SMK Dato’ Harun bagaimanapun berjaya merapatkan jurang sebelum rehat melalui jaringan Nor Ikhwan Norisham pada minit ke-34.
Namun, segala usaha pasukan lawan untuk kembali dalam permainan dipadamkan Danish Harith yang meledak gol kedua peribadi minit ke-51, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya buat juara bertahan.
Hadir menyaksikan perlawanan dan menyampaikan hadiah kepada juara dan naib juara adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, (Kewangan & Perkhidmatan Korporat), Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad, Suzila Khairuddin.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir; Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Hashim Anang.
Kejuaraan ini mendapat sokongan KPS selaku penaja utama dengan tajaan bernilai RM225,000 untuk Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 tahun dan Piala Raja Muda Selangor B-12 Tahun, manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.