Guadalajara(Mexico): Pihak berkuasa Mexico sedang berusaha menghalang warga Columbia yang dikaitkan dengan kartel tempatan daripada menggunakan Piala Dunia sebagai peluang untuk memasuki negara itu, kata seorang pegawai keselamatan di Jalisco, salah satu negeri penganjur kejohanan, kepada AFP.
“Ramai telah direkrut oleh kartel,” kata Roberto Alarcon, penyelaras keselamatan strategik Jalisco, merujuk kepada trend semakin ramai bekas tentera dan gerila Columbia menyertai kumpulan jenayah terancang.
Alarcon berkata, agensi keselamatan menahan beberapa warga Columbia yang gagal memberi alasan sah mengenai tujuan tinggal mereka, sambil memberi amaran bahawa rekrut asing mungkin cuba memasuki Jalisco menggunakan pakej pelancongan menjelang Piala Dunia.
Beliau menambah penyertaan bekas pejuang asing meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, apabila kartel, militan dan tentera mencari rekrut yang membawa pengalaman ketenteraan dari konflik lama Columbia dengan kumpulan gerila.
Jun lalu, tentera Mexico menahan 10 bekas tentera Columbia di Michoacan selepas letupan periuk api (landmine) yang membunuh enam tentera Mexico, kes yang menunjukkan skala trend perekrutan ini.
Pakar menyatakan bahawa proses demobilisasi Angkatan Bersenjata Revolusi Columbia pada 2017 dan pengurangan bajet ketenteraan di Columbia mendorong bekas pejuang mencari pekerjaan di luar negara, termasuk menyertai kumpulan jenayah di Mexico.
Guadalajara, ibu negeri Jalisco, kini bersiap sedia dengan lebih 2,000 kamera pengawasan, dron, pasukan anti-dron, serta unit udara dan darat untuk memastikan keselamatan perlawanan sepanjang kejohanan yang bermula pada Jun ini.
Bekas tentera Columbia menjadi tumpuan militan dan kumpulan jenayah di seluruh dunia kerana pengalaman tempur mereka menentang gerila kiri.
Guadalajara dijangka menerima puluhan ribu pengunjung dari seluruh dunia untuk acara sukan empat tahunan ini dan akan menjadi tuan rumah empat perlawanan, termasuk perlawanan kedua Mexico dalam peringkat kumpulan menentang Korea Selatan pada 18 Jun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




