Piala Dunia 2026: Senegal tetap yakin walau penyokong dinafikan visa

Piala Dunia 2026: Senegal tetap yakin walau penyokong dinafikan visa

New Brunswick: Senegal kekal optimis untuk memberi impak besar di Piala Dunia 2026 walaupun berdepan isu ketiadaan sokongan penyokong mereka selepas visa ke Amerika Syarikat tidak diluluskan oleh pihak berkuasa.

Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Senegal, Abdoulaye Sow menyifatkan situasi itu sebagai “amat dikesali” namun menegaskan ia adalah sebahagian daripada undang undang negara tuan rumah yang perlu dihormati.

“Memang benar Piala Dunia ini agak sukar, tetapi setiap negara mempunyai peraturan sendiri.

“Amerika Syarikat mempunyai undang undang dan peraturan mereka sendiri, dan undang undang ini bermakna kami tidak dapat menerima sokongan ramai penyokong Senegal dan Afrika yang mahu datang.

“Ini amat dikesali. FIFA sudah tahu tentang perkara ini. Tetapi ini adalah undang undang Amerika Syarikat dan kita perlu menghormatinya,” kata Sow kepada AFP di kem latihan Senegal, kira kira satu jam dari Manhattan.

Senegal yang kini berada di ranking ke 16 dunia bakal beraksi di Amerika Syarikat untuk dua perlawanan awal kumpulan, bermula menentang Perancis di New Jersey sebelum berdepan Norway pada 22 Jun.

Sow turut mengakui ketiadaan penyokong akan memberi kesan, namun percaya pasukan masih mampu menyerlah di pentas dunia.

“Sudah jelas negara negara Afrika terkesan dengan sekatan visa ini,” katanya.

“Senegal sudah biasa dengan sokongan sebagai pemain ke 12. Kali ini kami akan kehilangan itu.”

“Namun masih ada rakyat Senegal dan Afrika di sini. Perlawanan tetap akan ditentukan di atas padang, bukan di kalangan penyokong.”

Dalam perkembangan lain, Sow turut menyentuh mengenai kontroversi Piala Negara Negara Afrika yang masih dalam proses rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), namun menegaskan fokus utama kini adalah Piala Dunia.

“Sehingga keputusan CAS diumumkan, Senegal kekal juara Afrika,” katanya.

“Kami menang di atas padang dan kini sedang melalui proses undang undang. Namun itu bukan keutamaan kami sekarang.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top