Piala Dunia 2026: Status Davies terus jadi tanda tanya menjelang aksi Qatar

Piala Dunia 2026: Status Davies terus jadi tanda tanya menjelang aksi Qatar

Vancouver: Status kecergasan kapten Kanada, Alphonso Davies masih menjadi tanda tanya menjelang aksi penting Kumpulan B menentang Qatar, Khamis ini, apabila pasukan itu terus berahsia mengenai perkembangan pemulihan kecederaan hamstring yang dialaminya.

Davies dilihat menjalani latihan bersama rakan sepasukan di bawah cuaca cerah di National Soccer Development Centre pada Selasa dan mengambil bahagian dalam 15 minit pertama sesi latihan yang dibuka kepada media.

Namun, pegawai pasukan enggan memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai tahap kecergasan pemain berusia 25 tahun itu.

Sehari selepas memaklumkan Davies sedang menjalani protokol kembali beraksi, pihak pengurusan pasukan hanya mengesahkan pertahanan Alfie Jones tidak menyertai latihan atas alasan “pemulihan peribadi” tanpa mengulas lanjut mengenai Davies.

Malah, pertanyaan wartawan berhubung perkembangan pemain Bayern Munich itu juga tidak dijawab.

Davies mencipta sejarah sebagai pemain termuda mewakili skuad senior Kanada apabila melakukan penampilan sulung pada usia 16 tahun ketika menentang Curacao pada Jun 2017.

Sejak itu, dia meledak 15 gol dalam 58 penampilan antarabangsa, termasuk menjaringkan gol pertama Kanada dalam sejarah Piala Dunia pada edisi 2022 di Qatar.

Bagaimanapun, Davies belum beraksi bersama skuad kebangsaan sejak mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika saingan akhir Liga Negara Negara CONCACAF pada Mac 2025.

Selepas kembali pulih, dia terus dibelenggu masalah hamstring yang berulang.

“Secara mental, ia sangat meletihkan apabila terpaksa berdepan kecederaan seperti ini.

“Saya pernah berada dalam keadaan mula meragui diri sendiri, tetapi sepanjang tempoh berehat itu saya kembali memikirkan mengapa saya melakukan semua ini dan betapa pentingnya bola sepak buat diri saya,” kata Davies sebelum aksi pembukaan menentang Bosnia dan Herzegovina.

Kanada memulakan kempen Piala Dunia dengan keputusan seri 1-1 menentang Bosnia dan Herzegovina.

Menjelang aksi kedua kumpulan, kesemua empat pasukan dalam Kumpulan B iaitu Kanada, Qatar, Bosnia dan Herzegovina serta Switzerland masing-masing mengumpul satu mata dengan satu gol dijaringkan dan satu dibolosi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top