Piala Dunia: Belgium sekadar menang tipis

Batshuayi (kiri) meledak gol tunggal untuk membantu kemenangan Belgium ke atas Kanada 1-0. – Foto EPA

SKUAD nombor dua dunia, Belgium meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Kanada yang kali pertama tampil di pentas Piala Dunia selepas 36 tahun pada Khamis.

Kanada berpeluang untuk membuka tirai jaringan, namun sepakan penalti Alphonso Davies dinafikan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Belgium yang turun tanpa penyerang sensasi, Romelu Lukaku dilihat bergelut untuk merobek gawang lawan.

Namun Belgium akhirnya memecah kebuntuan menerusi Michy Batshuayi yang meledak gol pada minit ke-44.

Kanada kendalian John Herdman kemudian menyusun semula gerak pada babak kedua, namun ketangkasan Courtois menafikan peluang mereka untuk menyamakan kedudukan.

Belgium yang mara ke separuh akhir edisi 2018 mengekalkan kelebihan satu gol untuk mendahului Kumpulan F selepas Croatia dan Maghribi seri tanpa jaringan.

Kanada akan menentang Croatia pada 28 November, manakala Belgium akan membuat perhitungan dengan Maghribi pada Ahad.