Piala Dunia: FIFA mahu Trump tangguh operasi ICE, bimbang cetus kekacauan

Piala Dunia: FIFA mahu Trump tangguh operasi ICE, bimbang cetus kekacauan

PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membuat permintaan khas kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menangguhkan operasi penguatkuasaan imigresen sepanjang kejohanan Piala Dunia ini.

Menurut laporan media antarabangsa, The Athletic, kepimpinan tertinggi FIFA telah membincangkan kemungkinan untuk Infantino mengadakan pertemuan “presiden-ke-presiden” bagi meminta peranan Agensi Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) dikurangkan sepanjang acara terbesar itu berlangsung.

Langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap impak operasi besar-besaran yang dilancarkan pentadbiran Trump terhadap kelancaran kejohanan yang bakal melibatkan 48 pasukan itu.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada Infantino telah mengemukakan permohonan rasmi itu atau bagaimana reaksi Trump serta pentadbiran AS terhadap cadangan berkenaan.

Untuk rekod, sejak memulakan penggal kedua, Trump telah memperhebatkan serbuan ICE di beberapa bandar raya utama AS sebagai memenuhi janji kempennya untuk melaksanakan pengusiran besar-besaran pendatang tanpa izin.

Operasi tersebut bukan sahaja menimbulkan ketegangan politik, malah telah mencetuskan konflik berdarah dengan penunjuk perasaan, termasuk insiden yang mengorbankan Renee Good dan Alex Pretti di Minneapolis awal tahun ini.

Walaupun Pemangku Pengarah ICE, Todd Lyons sebelum ini menyatakan bahawa ejen mereka akan terlibat dalam aspek keselamatan di stadium, namun kebimbangan tetap timbul bahawa kehadiran mereka akan bertukar menjadi operasi tangkapan imigresen.

Kebimbangan itu bukan sahaja disuarakan oleh FIFA, malah beberapa ahli Kongres AS turut membangkitkan isu yang sama.

Malah, pekerja di Stadium SoFi, Los Angeles, lokasi di mana pasukan kebangsaan AS dijadualkan beraksi dua perlawanan peringkat kumpulan telah mengancam untuk melancarkan mogok minggu lalu atas kegusaran yang sama.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa sebilangan besar ahli persekutuan di bawah FIFA, terutamanya dari Eropah telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kehadiran ejen ICE di sekitar lokasi kejohanan.

FIFA pada mulanya percaya bahawa mengehadkan aktiviti ICE di 11 bandar raya penganjur sudah memadai.

Namun, memandangkan pasukan bertanding akan mewujudkan kem pangkalan di seluruh negara termasuk di bandar yang tidak menganjurkan perlawanan, FIFA kini mahukan penggantungan menyeluruh operasi ICE bermula dari 11 Jun hingga 19 Julai depan.

Hubungan akrab antara Infantino dan Trump dilihat sebagai faktor penting yang mungkin membolehkan permintaan itu dipertimbangkan.

Selain mempunyai pejabat di Trump Tower, New York, FIFA sebelum ini turut menganugerahkan Trump dengan Anugerah Keamanan FIFA (FIFA Peace Prize) yang pertama dalam satu majlis undian Piala Dunia pada Disember lalu.

Scroll to Top