Piala Dunia Kelab guna bola bermutu tinggi buatan Pakistan

Piala Dunia Kelab guna bola bermutu tinggi  buatan Pakistan

London: Ketika Piala Dunia Kelab FIFA 2025 rancak berlangsung di Amerika Syarikat (AS), bola perlawanan rasmi menarik perhatian seluruh dunia.

Adidas melancarkan FIFA Club World Cup 25 Pro Ball awal tahun ini, menampilkan reka bentuk berani berinspirasi bintang dan jalur serta label ‘Made in Pakistan’ yang menyerlahkan peranan Pakistan dalam menghasilkan bola sepak berkualiti tinggi.

Pengurus besar bahagian bola sepak Adidas, Sam Handy, berkata bola itu adalah hasil pembangunan teliti selama 18 bulan.

Matlamatnya untuk mencipta bola yang ikonik dari segi penampilan dan berprestasi di tahap tertinggi, menggabungkan semangat AS dengan kejuruteraan terbaik.

Walaupun reka bentuknya mencerminkan identiti AS, pengeluarannya di Pakistan menonjolkan kepakaran negara itu dalam pembuatan peralatan sukan bertaraf dunia.

Bola itu menggunakan teknologi canggih ‘precisionshell’ daripada Adidas, struktur 20 panel yang dilekatkan secara terma bagi meningkatkan kawalan penerbangan dan konsistensi.

Ia diperbuat daripada 61% poliuretana, 30% poliester kitar semula dan 9% viskosa, menjadikannya satu langkah ke hadapan dari segi kelestarian berbanding versi terdahulu.

Ujian yang dijalankan oleh Universiti Loughborough di UK menunjukkan bola terbabit berprestasi lebih baik berbanding beberapa model terkemuka yang digunakan dalam liga utama.

Pemain menyatakan bola itu memerlukan lebih ketepatan kerana memiliki ‘sweet spot’ yang lebih kecil, namun mereka memuji kekerasan dan konsistensinya, terutama untuk hantaran jauh dan sepakan berkelajuan tinggi.

Selain itu, ia turut dilengkapi sensor pergerakan yang menghantar data bagi menyokong keputusan ofsaid separa automatik dan penjejakan pemain.

Teknologi pintar digunakan menggabungkan sukan dengan inovasi, menjadikan bola itu bukan sekadar peralatan permainan, tetapi juga alat teknologi tinggi untuk era bola sepak moden.

Dengan 63 perlawanan dijadualkan, semua mata kini tertumpu kepada bola buatan Pakistan ini, adakah ia mampu memenuhi jangkaan?

Tanda-tanda awal menunjukkan ia sudah bersedia untuk beraksi di pentas bola sepak global, menggabungkan teknologi canggih dengan kepakaran pengeluaran yang unggul.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top