GERGASI Liga Portugal, FC Porto, mengesahkan proses penamatan kontrak ketua jurulatih Martin Anselmi susulan kegagalan pasukan itu mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Dunia Kelab.
Dalam satu kenyataan, Porto menjelaskan bahawa rundingan sedang berjalan bagi menamatkan kontrak jurulatih dari Argentina itu yang baharu sahaja dilantik pada Januari lalu.
“FC Porto memaklumkan bahawa pihak kelab telah memulakan rundingan bersama jurulatih Martin Anselmi untuk penamatan kontrak,” kata kenyataan tersebut.
Pengendali berusia 39 tahun itu sebelum ini menandatangani kontrak selama dua tahun setengah, namun gagal membawa impak positif.
Porto menamatkan kempen Kumpulan A Piala Dunia Kelab di tempat ketiga mengutip dua mata daripada tiga perlawanan di belakang Palmeiras dan Inter Miami.
Prestasi hambar itu menyusuli musim kurang memberangsangkan saingan Liga Primeira musim lalu, apabila sekadar menamatkan kempen ketiga liga, sembilan mata di belakang juara, Sporting CP.
Masa depan Anselmi mula menjadi tanda tanya sejak beberapa minggu lalu, dan keputusan ini dilihat sebagai langkah awal Porto untuk merombak struktur kejurulatihan menjelang musim baharu.