PETALNG JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meneruskan rentak cemerlang apabila meraih pingat gangsa acara pecut individu lelaki pada pusingan pertama Piala Dunia Trek di Perth, hari ini.
Pelumba berusia 38 tahun itu memastikan tempat ketiga miliknya selepas menewaskan wakil Israel, Mikhail Yakovlev dengan keputusan 2-0 dalam perlumbaan penentuan gangsa di Velodrom Perth SpeedDome.
Azizulhasni yang melayakkan diri ke pusingan akhir dengan catatan keempat terpantas 9.702 saat (s) mempamerkan kecekapan taktikal tinggi untuk menundukkan Yakovlev yang mencatat masa kedua terpantas 9.515s pada pusingan kelayakan.
Terdahulu, Azizulhasni terpaksa akur apabila tewas 0-2 kepada pemegang rekod dunia 200 meter (m), Matthew Richardson pada aksi separuh akhir.
Perlumbaan kedua separuh akhir itu bagaimanapun terpaksa dimulakan semula selepas Richardson terjatuh di bahagian atas selekoh velodrom.
Richardson yang dilabel sebagai pilihan utama kemudiannya menepati ramalan apabila menewaskan pelumba tuan rumah, Leigh Hoffman 2-0 pada aksi final untuk meraih pingat emas.
Untuk rekod, pingat gangsa menjadi pencapaian bermakna buat Azizulhasni kerana ianya merupakan pingat pertama dalam acara pecut individu sepanjang penyertaannya dalam siri Piala Dunia yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Negara-Negara.
Sementara itu, nasib berbeza buat skuad wanita negara apabila Nur Alyssa Farid dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri tersingkir awal selepas gagal melepasi pusingan repechage pertama acara keirin. – UTUSAN




