Piala FA: JDT buka gelanggang berdepan UM-Damansara

Piala FA: JDT buka gelanggang berdepan UM-Damansara
Saingan Piala FA 2025/26.

Saingan Piala FA 2025/26.

SAINGAN Piala FA 2025/26 bakal menyajikan aksi-aksi mendebarkan apabila keputusan undian Pusingan 16 Terbaik diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Isnin.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen mempertahankan kejuaraan dengan pertemuan menentang pendatang baharu Liga A1 Semi-Pro, UM-Damansara FC.

Tumpuan lain turut terarah kepada aksi ‘panas’ di Borneo apabila wakil Brunei, DPMM FC dijadualkan melayani cabaran jiran serantau, Kuching City FC – satu pertembungan yang dijangka hangat berikutan sejarah persaingan dan kedudukan geografi yang rapat.

Turut mencuri perhatian ialah pertemuan antara muka baharu Liga Super, Imigresen FC yang bakal berdepan ujian getir apabila diundi bertemu Terengganu FC.

Negeri Sembilan FC pula akan membuat perhitungan dengan PDRM FC yang tampil lebih berwibawa musim ini dengan kehadiran import-import segar serta pendekatan taktikal yang lebih bertenaga.

Di Stadium Likas, Sabah FC akan melayani cabaran satu lagi kelab Liga A1 Semi-Pro, Bunga Raya FC.

Juara Liga A1 Semi-Pro musim lalu, Melaka FC, berpeluang mencipta kejutan apabila diundi bertemu Penang FC.

Dengan kelebihan tenaga muda dan semangat baharu, skuad Hang Tuah pastinya enggan sekadar menjadi pelengkap jadual.

Naib juara musim lalu, Selangor FC pula akan menerima kunjungan pasukan Malaysian University Football Team (MUFT) dan dijangka menggunakan perlawanan ini untuk melakukan penggiliran pemain dalam usaha mengekalkan kecergasan tonggak utama mereka.

Satu lagi pertemuan dijangka menarik apabila Kuala Lumpur City FC bakal menguji kemampuan Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW FC).

Untuk rekod, musim lalu JDT merangkul kejuaraan Piala FA selepas membenam Selangor FC 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Scroll to Top