Piala Petrina medan terakhir

Piala Petrina medan terakhir

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Piala Petrina bakal menjadi medan terakhir buat skuad gimrama negara menguji prestasi sebelum beraksi di Sukan Sea Thailand bulan depan.

Kejohanan akan berlangsung di SPICE Arena, Pulau Pinang dari 18 hingga 23 November ini akan menghimpunkan hampir 700 peserta dari 12 negara termasuk Singapura, Emiriah Arab Bersatu, China, Thailand, Malaysia, Taiwan, Korea, Mexico, Syria, Jepun, Hong Kong dan India, menjadikannya antara kejohanan gimrama terbesar pernah diadakan di negara ini.

Ketua jurulatih gimrama negara, Petrina Low, berkata kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform pemilihan terakhir ke temasya dwitahunan itu, malah menjadi peluang terbaik buat atlet tempatan beraksi menentang gimnas dari pelbagai negara.

“Separuh daripada peserta kejohanan ini datang dari Malaysia, manakala selebihnya dari luar negara. Ia menunjukkan perkembangan positif dan populariti sukan gimrama semakin meningkat di negara ini,” katanya.

Menurut Petrina, kejohanan yang kini memasuki edisi kedua itu turut menawarkan hadiah wang tunai bagi tiga kategori Pra-Junior, Junior dan Senior dengan pemenang tempat pertama membawa pulang AS$1,000 (kira-kira RM4,400).

“Ini satu galakan besar kepada gimnas, dan saya sendiri berhasrat untuk menganjurkannya setiap tahun selepas melihat sambutan luar biasa kali ini,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, sebahagian atlet kebangsaan kini sedang berada di luar negara sebagai persiapan terakhir menjelang temasya Sukan Sea.

“Pasukan senaman berkumpulan kini berada di Jepun untuk kem latihan sebelum menyertai kejohanan jemputan di China pada 10 hari bulan ini, manakala gimnas individu beraksi di sini dalam Piala Petrina,” katanya.

Petrina turut menjelaskan bahawa senarai akhir atlet ke Sukan Sea masih belum dimuktamadkan dan ujian kawalan terakhir sedang dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top