Piala Super UEFA: Mendes tamatkan mimpi Tottenham

Piala Super UEFA: Mendes tamatkan mimpi Tottenham
Piala Super UEFA: Mendes tamatkan mimpi Tottenham

PSG juara Piala Super UEFA selepas atasi Tottenham di Stadium Bluenergy, Udine, Itali, awal pagi Khamis. FOTO: AGENSI

PARIS Saint-Germain (PSG) mempamerkan kebangkitan dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Tottenham Hotspur 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi Piala Super UEFA di Stadium Bluenergy, Udine, Itali, awal pagi Khamis.

Tottenham dari Liga Perdana Inggeris (EPL) bimbingan Thomas Frank berada di depan menerusi jaringan Micky van de Ven pada minit ke-39 sebelum Cristian Romero menggandakan kelebihan pada minit ke-48.

Namun, kebangkitan PSG dari Ligue 1 Perancis, kendalian Luis Enrique bermula pada minit ke-85 apabila pemain gantian, Lee Kang-in meledak gol cantik untuk merapatkan jurang.

Harapan kelab gergasi Perancis itu terus menyala apabila Goncalo Ramos menanduk masuk gol penyamaan empat minit memasuki masa kecederaan.

Aksi berlanjutan ke penentuan sepakan penalti menyaksikan Nuno Mendes menjadi wira PSG selepas menyempurnakan sepakan terakhir untuk memastikan kemenangan 4-3 sekali gus menghadiahkan kejuaraan kepada juara Eropah itu.

Sebagai rekod, ini kali pertama PSG, malah mana-mana kelab Perancis, menjulang Piala Super, sekali gus menjadikan koleksi trofi yang dimenangi pasukan dari Paris tersebut pada tahun 2025 kepada lima.

Pencapaian itu juga permulaan sempurna bagi kempen baharu skuad Enrique, yang hanya menikmati rehat pramusim singkat selepas tewas pada final Piala Dunia Kelab kepada Chelsea di Amerika Syarikat sebelum ini.

Tottenham dijadualkan berdepan Burnley di Stadium Tottenham Hotspur dalam perlawanan liga pada Sabtu.

Sementara itu, PSG akan bertandang ke Stade de la Beaujoire, menentang Nantes bagi aksi liga, Isnin.

Scroll to Top