Newcastle: Penjaga gol Everton, Jordan Pickford muncul wira apabila melakukan aksi menyelamat luar biasa pada masa kecederaan untuk membantu pasukannya menewaskan Newcastle United 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Pickford mencuri tumpuan apabila menepis rembatan voli kencang Sandro Tonali yang kemudian terkena palang gol sekali gus memastikan Everton membawa pulang tiga mata berharga di St James’ Park.
Pengurus Everton, David Moyes menyifatkan aksi penjaga gol England itu sebagai penyelamatan luar biasa yang menjadi detik penentu kemenangan pasukannya.
Menurutnya, percubaan Tonali dilakukan dengan sempurna dan hampir pasti menghasilkan gol sekiranya tidak diselamatkan Pickford.
Everton terlebih dulu berada di depan menerusi jaringan Jarrad Branthwaite pada minit ke-19 sebelum Newcastle menyamakan kedudukan hasil jaringan Jacob Ramsey selepas setengah jam permainan.
Bagaimanapun, Everton kembali mendahului hanya dua minit kemudian menerusi penyudah Beto untuk kedudukan 2-1 menuju ke bilik persalinan.
Newcastle sekali lagi bangkit apabila Jacob Murphy menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-82 sekali gus menghidupkan semula harapan tuan rumah.
Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pemain gantian Everton, Thierno Barry meledak gol kemenangan seminit kemudian untuk menjadikan kedudukan 3-2.
Ketika Newcastle hampir menyamakan kedudukan, Pickford melakukan aksi menyelamat menakjubkan dengan menepis rembatan Tonali pada masa kecederaan.
Pertahanan Everton, Jarrad Branthwaite turut memuji kehebatan penjaga gol itu yang disifatkannya melakukan antara aksi menyelamat terbaik pernah disaksikannya.
Kemenangan itu menyaksikan Everton kini berada di tangga kelapan liga selain menamatkan kemarau dua perlawanan tanpa kemenangan.
Everton selepas ini dijadual menerima kunjungan Burnley dalam aksi seterusnya pada Selasa ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




