Pihak berkuasa sita ular sawa batik dalam simpanan individu

Pihak berkuasa sita ular sawa batik dalam simpanan individu

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menerusi Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman bersama Jabatan Perhilitan Negeri Selangor menyita seekor ular sawa batik di Kampung Bukit Cherakah, Subang, hari ini.

Sitaan dilakukan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sebuah premis pada jam 11.30 pagi.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, pihaknya menemui reptilia itu yang dilindungi di bawah undang-undang disyaki dalam simpanan pemilik premis.

“Pemeriksaan dilakukan selepas pihak polis memperkenalkan diri kepada seorang wanita tempatan berusia 42 tahun yang berada di lokasi.

“Hidupan liar berkenaan kemudian disita oleh Jabatan Perhilitan Negeri Selangor dan dibawa ke pejabat Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ular sawa batik hidup itu dianggarkan bernilai RM1,500 dan tindakan sitaan dilakukan tanpa pembukaan kertas siasatan memandangkan pemilik premis berada di luar negara.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Operasi seumpama ini akan terus dijalankan secara bersepadu bersama Jabatan Perhilitan bagi membanteras penyimpanan dan pemerdagangan hidupan liar yang dilindungi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top