“Pihak Saya Akan Ambil Tindakan Undang-Undang …” – Fattah Amin

“Pihak Saya Akan Ambil Tindakan Undang-Undang …” – Fattah Amin

Fattah Amin sekali lagi menjadi perhatian umum apabila namanya dikaitkan dengan isu viral melibatkan rumah tangga sepasang influencer baru-baru ini. Kejadian itu mencetuskan pelbagai spekulasi dan tuduhan di media sosial, sekaligus menjejaskan reputasinya.

Ketika diwawancara selepas memenangi trofi Selebriti Maskulin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025), Fattah menegaskan bahawa dia tidak akan melatah dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak pengurusannya serta saluran undang-undang.

Bintang drama Lelaki Melayu Terakhir itu mengakui pada mulanya tidak menyedari isu tersebut sehingga dimaklumkan oleh pasukan pengurusannya, yang juga menerima aduan daripada peminat.

“Saya sendiri tidak perasan tentang isu ini. Pihak pengurusan yang memaklumkan, dan ada juga peminat yang menghubungi kami. Jika ada fitnah atau tuduhan tidak berasas, pihak pengurusan akan ambil tindakan. Jika perlu, kita akan gunakan saluran undang-undang,” jelasnya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bekas suami pelakon Nur Fazura itu menekankan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah, kerana ia boleh merosakkan nama baik dan kredibilitinya.

“Perkara ini sedang diuruskan oleh pengurusan dan peguam saya. Kita tidak mahu fitnah berlarutan kerana ia boleh menimbulkan cerita palsu yang lebih serius. Saya akan terus fokus pada kerja untuk peminat dan klien. Jika ini menjejaskan kerjaya, tindakan undang-undang akan dilaksanakan,” tegasnya.

Fattah turut mengesyaki ada pihak tertentu yang sengaja ingin menjatuhkan reputasinya.

“Menurut pengurusan, ada segelintir pihak yang cuba mencalarkan imej saya. Tapi saya tidak gentar kerana negara kita mempunyai undang-undang,” ujarnya.

Sebagai seorang yang sudah lebih 10 tahun bergelar selebriti, Fattah menganggap gosip dan kontroversi sebagai sesuatu yang lumrah dalam industri hiburan.

“Sebagai anak seni, kita tidak boleh lari daripada gosip. Tidak mungkin selama 10 atau 15 tahun semuanya positif. Mungkin ada yang tidak senang dengan kejayaan kita, tapi saya lebih memilih untuk tidak fokus pada perkara negatif. Biar pengurusan yang uruskan,” katanya.

Di akhir wawancara, Fattah menyampaikan penghargaan kepada peminat yang terus menyokongnya sehingga membawa pulang trofi di AMT 2025.

“Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah pudar. Ini semua kerana kalian,” ujarnya penuh syukur.


Scroll to Top