Pili bomba terbiar!

Pili bomba terbiar!

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pili bomba yang sepatutnya menjadi benteng pertama keselamatan penduduk didakwa kini terbengkalai, berkarat dan sesetengahnya hilang komponen penting sekali gus menimbulkan kebimbangan jika berlaku kebakaran.

Tinjauan Harian Metro di Jalan Jinjang Indah, Jinjang dan Metro Prima, Kepong di sini mendapati sebahagian besar pili bomba berada dalam keadaan teruk dengan pelbagai komponen yang hilang yang menimbulkan persoalan terhadap fungsinya.

Di kawasan perumahan, rata-rata pili bomba dipercayai terbengkalai, tiada penyelenggaraan, outlet pillar cap pula hilang atau berkarat manakala kawasan sekeliling bersemak.

Di kawasan bangunan rumah kedai pula, walaupun beberapa pili bomba masih kelihatan diselenggara, ada yang penutupnya (cap) hilang dan penduduk mendakwa mereka sendiri tidak pasti sama ada ia berfungsi atau tidak.

Keadaan fizikal pili bomba yang teruk ini bukan sahaja mengundang risiko tetapi juga menimbulkan kebimbangan penduduk yang kini merasa tidak selamat di rumah sendiri.

Penduduk mendakwa masalah itu berlarutan bertahun-tahun tanpa sebarang tindakan pihak berkuasa walaupun ancaman kebakaran sentiasa menghantui mereka.

Penduduk yang ingin dikenali sebagai Chin, 60-an, yang menetap lebih 40 tahun di Jalan Jinjang Indah mendakwa, pili bomba berhampiran rumahnya sudah lama terbengkalai dan tidak diselenggara.

Katanya, keadaan berkenaan menimbulkan kebimbangan serius kerana pili bomba sepatutnya menjadi barisan pertahanan pertama jika berlaku kebakaran.

“Pili itu duduk seberang rumah sahaja tapi sudah berkarat dan ada komponen tercabut. Tak pernah nampak ia diselenggara.

“Sebelum berlaku apa-apa, baik pihak bertanggungjawab baiki sekarang. Kalau tunggu insiden, mungkin sudah terlambat,” katanya kepada Harian Metro.

Chin berkata, walaupun setakat ini belum berlaku sebarang insiden, kegagalan fungsi pili bomba boleh membawa risiko besar kepada nyawa dan harta benda penduduk di kawasan itu.

Sementara itu, seorang lagi warga emas yang enggan dikenali berkata, dia bimbang terhadap keadaan pili bomba dekat rumahnya yang terbengkalai.

Dia mengakui tidak pasti sama ada pili bomba itu masih berfungsi kerana tidak pernah melihat ia diselenggara atau digunakan.

“Musibah boleh datang bila-bila masa. Kita tidak tahu bila api akan marak. Pili dekat rumah saya sudah berkarat dan ada komponen yang hilang.

“Saya sendiri tidak tahu sama ada ia berfungsi kerana jarang nampak orang datang selenggara atau gunakan pili itu,” katanya.

Katanya, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi memastikan semua pili bomba berada dalam keadaan baik dan berfungsi sepenuhnya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendedahkan tahap integriti aset pili bomba kini berada pada tahap membimbangkan apabila sebanyak 49,794 unit di seluruh negara dikesan mengalami pelbagai bentuk kerosakan dan kegagalan fungsi sepanjang tahun lalu.

Angka berkenaan mewakili 13.7 peratus daripada keseluruhan 363,340 unit pili bomba awam yang diperiksa menerusi operasi pemeriksaan berkala.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top