mahaizura@mediaprima.com.my
TANTRUM anak sering disalah anggap sebagai sikap degil atau sengaja ‘buat perangai’ sedangkan hakikatnya, ia cara anak meluahkan emosi yang belum mampu dikawal sendiri.
Dalam dunia serba pantas hari ini, gajet pula sering menjadi jalan pintas untuk menenangkan anak yang sedang menangis atau mengamuk.
Namun, tanpa disedari, pendekatan itu boleh memberi kesan jangka panjang apabila anak mula bergantung kepada skrin untuk menenangkan diri.
Keadaan ini menjadikan mereka kurang berpeluang belajar mengurus emosi secara semula jadi sekali gus meningkatkan risiko tantrum yang lebih kerap dan sukar dikawal apabila gajet tiada di tangan.
Lebih membimbangkan, ada anak yang kelihatan ‘diam’ ketika menggunakan gajet, tetapi sebenarnya emosi mereka hanya ditekan, bukan difahami atau diselesaikan.
Jadi, apabila gajet dihentikan secara tiba-tiba, emosi yang terpendam itu boleh meletus dalam bentuk tantrum yang lebih kuat sekali gus mencabar kesabaran ibu bapa.
Justeru, keadaan ini memerlukan pendekatan lebih seimbang supaya anak bukan sahaja tenang tetapi juga mampu mengenal dan mengawal emosi mereka tanpa bergantung kepada gajet semata-mata.
Berikut beberapa langkah praktikal yang boleh membantu menangani tantrum:
1. Kenal pasti punca bukan sekadar reaksi
Tantrum selalunya berpunca daripada lapar, letih, bosan atau terlebih rangsangan.
Bila tahu punca, lebih mudah tenangkan anak tanpa perlu menghulur telefon.
2. Kekal tenang jangan ‘melawan emosi’
Jika ibu bapa turut marah atau meninggi suara, tantrum boleh jadi lebih teruk.
Turunkan nada suara, bercakap perlahan dan beri rasa selamat kepada anak.
3. Hadkan gajet secara konsisten bukan mengejut
Elakkan terus menarik atau menghentikan gajet secara drastik. Kurangkan secara berperingkat dan tetapkan waktu penggunaan supaya anak tidak ‘bergantung’ kepada gajet untuk tenang.
4. Gantikan gajet dengan aktiviti fizikal
Ajak anak melukis, bermain blok, berlari atau aktiviti luar. Pergerakan fizikal membantu melepaskan emosi terpendam.
5. Ajar anak kenal emosi
Gunakan ayat mudah seperti ‘adik marah ya?’ atau ‘adik sedih?’. Ini membantu anak faham perasaan sendiri tanpa perlu ‘meletup’.
6. Mewujudkan rutin harian yang stabil
Anak lebih mudah terkawal apabila ada rutin makan, tidur dan bermain yang konsisten. Kurang kejutan, jadi kurang tantrum.
7. Beri perhatian berkualiti, bukan perhatian segera
Ada kalanya anak tantrum sebab mahu perhatian. Luangkan masa tanpa gangguan gajet walaupun sekejap, tetapi fokus sepenuhnya pada anak.
8. Jangan jadikan gajet sebagai ‘ubat penenang’
Jika setiap kali anak menangis diberi telefon, otak anak secara automatik akan belajar gajet itu cara untuk rasa lega. Ini yang perlu dielakkan.
9. Sediakan ‘ruang tenang’
Boleh mewujudkan sudut kecil di rumah untuk anak bertenang dengan bantal, buku atau mainan lembut.
Ini alternatif lebih sihat berbanding skrin.
10. Konsisten dan sabar
Perubahan tidak berlaku dalam sehari. Anak memerlukan masa untuk belajar kawal emosi tanpa bantuan gajet.
© New Straits Times Press (M) Bhd




