am@hmetro.com.my
Sandakan: Memilih lokasi terpencil untuk mengelak kegiatan haram menyeleweng minyak sawit mentah daripada dikesan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, modus operandi itu berjaya dihidu pihak berkuasa melalui operasi bersepadu di Ulu Dusun, Batu 30 dekat sini, petang semalam.
Dalam serbuan itu, sebanyak 3,000 liter minyak sawit mentah yang dimuatkan dalam sebuah lori berjaya dirampas dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM130,700.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, operasi bersepadu itu dijalankan PPM Sandakan bersama Unit Penguat Kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Ketika serbuan, suspek dipercayai sudah melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Kegiatan ini dilakukan di kawasan terpencil bagi mengelak dihidu pihak berkuasa, namun kita berjaya mengesan lokasi hasil risikan dan maklumat orang awam,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.
Nazri berkata, pihaknya akan terus memperkasa operasi dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan yang berlaku di negeri itu demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




