Pilih ke Thailand kerana mahu 'vibe' melancong ke luar negara

Pilih ke Thailand kerana mahu 'vibe' melancong ke luar negara

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Memang banyak tempat menarik untuk dikunjungi di Malaysia tapi saya pilih ke Thailand kerana nak rasa ‘vibe’ (aura) melancong di luar negara, itu saja,”.

Itu kata Rafifi Shahin Rohizan, 32, yang sanggup beratur kira-kira satu jam 30 minit di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah bagi melalui proses proses pengisytiharan penggunaan kenderaan sebelum memandu masuk ke Thailand.

Menurut Rafifi, hampir setiap bulan dia ke Thailand jadi sudah biasa dengan proses keluar masuk di pintu sempadan namun pengalaman kali ini agak berbeza kerana melihat bilangan individu di ICQS lebih ramai berbanding biasa.

Bagaimanapun, Rafifi yang ditemani isteri, Nurul Aini Shafie, 31, meneruskan juga perjalanan kerana sudah merancang awal percutian mereka.

“Saya bertolak dari rumah di Jitra, Kedah kira-kira 8.30 malam pada Khamis lalu (11 September lalu) dan tiba di ICQS jam 9 malam iaitu lewat 10 minit berbanding biasa kerana kesesakan jalan raya.

“Normal selalunya 20 minit sudah sampai tapi jadi setengah jam sebab kereta terlalu banyak. Proses pengisytiharan kenderaan pun selalunya tak sampai setengah jam tapi jadi hampir dua jam tempoh hari.

“Waktu beratur, saya nampak ada beberapa individu yang patah balik mungkin kerana tak tahan dan ‘koyak mental’ akibat menunggu. Tapi saya dan isteri redah saja kerana fikir sudah sampai ke sempadan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Rafifi berkata, selepas melepasi pemeriksaan imigresen dan proses pengisytiharan kenderaan, dia terus memandu kereta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai kerana perlu menaiki penerbangan ke Bangkok, Thailand.

Katanya, perjalanannya berjalan lancar namun dapat maklumat kesesakan di kompleks berkenaan semakin teruk pada awal pagi 12 September kerana orang ramai mula berkumpul seawal jam 3.30 pagi walaupun pintu sempadan dibuka 6 pagi.

“Kali ini luar biasa ramai mungkin kerana orang ramai nak manfaatkan cuti hujung minggu yang bersambung sehingga sambutan Hari Malaysia, Selasa ini.

“Saya ke Thailand sebab kebetulan dapat tiket penerbangan murah dan nak sambut ulang tahun kelahiran isteri lusa.

“Lagipun, kadar matawang tak jauh beza dan saya dengan isteri pun tak ada masalah bergerak kerana tiada anak. Nampak juga ramai orang Malaysia suka ke Thailand sekarang kerana dulu, Cameron Highlands dan Langkawi lebih menjadi pilihan,” katanya.

Sementara itu, peniaga produk kosmetik, Nur Fatehah Zulkifle, 26, berkata, walaupun tidak memandu, dia dan lima rakan yang lain turut melalui pengalaman mencabar sebelum tiba di Hat Yai, Thailand.

Katanya, ia kerana dia dan rakan yang mengikuti trip di bawah agensi pelancongan terpaksa menumpang bas lain kerana kenderaan sepatutnya membawa mereka tersangkut dalam kesesakan.

“Kami bertolak malam kelmarin dengan menaiki perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari stesen KL Sentral ke Padang Besar, Perlis.

“Tersangkut lama di stesen ETS Padang Besar kerana tunggu bas dan beratur setengah jam beratur sebelum melepasi pemeriksaan di kaunter imigresen.

“Tak terasa sangat seperti mereka yang memandu tapi pengalaman baru juga untuk kami semua yang pertama kali nak masuk bercuti di Thailand.

“Tapi percutian perlu diteruskan kerana sudah rancang dua bulan lebih awal. Lagipun, PM (Perdana Menteri) bagi cuti tambahan 15 September jadi inilah masanya kami semua melancong bersama walaupun sesak kerana cuti sekolah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Sempadan Malaysia-Thailand di sini menjadi sesak berikutan ramai pelancong hendak memasuki negara jiran sempena cuti persekolahan ini.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesesakan itu berlaku sejak semalam dan dijangka berterusan sehingga 21 September depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top