Pilih pokok tanpa tanah

Pilih pokok tanpa tanah

nurul_husna@hmetro.com.my

Membina ‘santuari’ untuk diri sendiri dan keluarga menerusi penataan tanaman dalam kediaman antara konsep kian popular sejak kebelakangan ini.

Dulu tanaman hiasan dalam hanya mengisi satu atau dua sudut dalam kediaman, kini konsep itu dikembangkan menjadi latar utama dalam menata hias ruang.

Konsep hiasan itu yang menumpukan kepada tanaman dalam rumah bagi melengkapkan penataan untuk disesuaikan dengan penggunaan perabot buluh dan kayu menghidupkan suasana alam semula jadi di ruang terbabit.

Menurut Perunding Hortikultur Gadek Nursery Amirah Solehah Shokri, 35, tanaman dalaman atau ‘indoor plant’ sering menjadi pilihan peminat penataan landskap yang mahukan suasana semula jadi dalam kediaman mereka.

Kata Amirah Solehah, trend itu makin popular sejak pandemik Covid-19 apabila ramai mula menceburkan diri dalam aktiviti menghias dan menanam.

“Konsep menata hias ruang kediaman dengan tanaman hiasan bukanlah perkara asing apabila ramai melayari laman Pinterest atau Google untuk melihat hiasan sesuai.

“Saya perasan ketika itu jugalah ramai berminat terhadap tumbuhan dalaman kerana ramai mengatakan ia baik untuk ekosistem dalam rumah.

“Ramai mempercayai kehadiran tanaman dalam boleh memperbaiki pengudaraan dan juga membersihkan udara.

“Sejauh mana keberkesanan amalan itu, setidak-tidaknya dari sudut lain, ia dapat mewujudkan persekitaran malar hijau yang menyegarkan mata,” katanya.

Kata Amirah Solehah, tanaman dalaman ini memiliki ciri-ciri tahan lasak dan mudah dijaga menyebabkannya sesuai sebagai penyeri ruang dalam kediaman.

“Sifat asli tumbuhan hiasan dalaman ini selalunya memerlukan kurang cahaya matahari.

“Ini berdasarkan habitat asal yang mana pokok hiasan dalaman ini selalunya pokok yang tumbuh di bawah pokok kanopi.

“Menariknya pokok yang mempunyai ciri-ciri ini turut tahan lasak dan mempunyai pelbagai warna serta tekstur yang unik.

“Contohnya Futura robusta, Begonia, Ficus lyrata, Petunia dan banyak lagi yang boleh hidup dalam rumah dengan baik,” katanya.

Apabila pokok hiasan seperti ini diletakkan dalam rumah, ia menyuntik elemen yang menyenangkan dan relaks.

“Tidak dinafikan fitrah manusia sukakan sesuatu yang semula jadi. Dengan memasukkan elemen seperti menata hias dalam rumah dengan tumbuhan hiasan ia mampu menyuntik elemen ‘therapeutik’ dicari sebaik pulang ke rumah.

“Susun atur dan pemilihan jenis tanaman dalaman yang betul menjadikan rumah bukan hanya semakin cantik tetapi cukup selesa didiami,” katanya.

Tambah Amirah Solehah, kini variasi tanaman dalam rumah juga sudah dipelbagaikan dan bukan hanya dalam pasu semata-mata. Kini ada tanaman dalam rumah boleh digantung.

“Ciri-ciri eksotik tanaman dalam rumah yang tidak memerlukan cahaya yang banyak menjadikan mudah diselenggara.

“Malah kalau pemilik rajin buat kajian mengenai tumbuhan hiasan dalam kediaman, mereka akan temui banyak spesies yang unik.

“Paling mudah, pokok seperti Begonia, Lucky bamboo dan Spiderwort tidak memerlukan tanah dan boleh ditanam di dalam medium air.

“Kebanyakan medium untuk tanaman dalam rumah menggunakan konsep tanpa tanah seperti menggunakan sabut dan tanah liat yang sudah diproses,” katanya.

Keadaan itu memberi kelebihan kepada pemilik kediaman yang mengimpikan tanaman dalam dan tidak mendatangkan kekotoran pada ruang terbabit.

“Kalau ada klien atau peminat pokok mahu menata hias ruang dalam rumah dengan pokok hiasan, kami perkenalkan tanaman zero ‘soil’ atau pokok tanpa tanah.

“Ini satu inovasi dalam industri bagi merealisasikan konsep tanaman tanpa tanah apabila terdapat medium lain digunakan untuk tanaman terus hidup.

“Apabila digunakan pada konsep tanaman hiasan dalam rumah, ramai pemilik kediaman teruja dapat menghias rumah mereka tanpa perlu bimbang dengan keadaan tanah kotor dan sebagainya,” katanya.

Kata Amirah Solehah lagi, tanaman hiasan dalam rumah tumbuh dengan perlahan.

“Atas faktor pokok ini tidak perlukan cahaya banyak, pertumbuhan pokok dari jenis ini juga berlaku sangat perlahan.

“Kerja menyelenggara tidaklah rumit dan pertumbuhan pokok yang perlahan tidak membebankan pemilik kediaman untuk menguruskannya.

“Cuma pemilik masih perlu sekali-sekala didedahkan pada cahaya matahari. Rutin itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali memastikan pokok hiasan dalam rumah terus sihat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top