Pilihan raya sehari terbesar dunia

Pilihan raya sehari terbesar dunia

Jakarta: Bagaimana Indonesia mengadakan pilihan raya sehari yang terbesar di dunia?

Berikut ialah perkara yang boleh dijangkakan pada hari dan selepas Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 akan berlangsung esok 14 Februari 2024.

Dalam pilihan raya sehari terbesar di dunia itu, rakyat Indonesia akan memilih presiden dan naib presiden baharu, parlimen dan penggubal undang-undang. Ia antara 20,000 jawatan pentadbiran di seluruh negara.

Setiap pengundi akan diberikan lima kertas undi untuk memilih pasangan presiden dan naib presiden, penggubal undang-undang di peringkat nasional, wilayah dan daerah serta senator wilayah.

Terdapat kira-kira 205 juta pemilih berdaftar. Peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya lepas adalah kira-kira 75 peratus, menurut Yayasan Antarabangsa untuk Sistem Pilihan Raya, sebuah organisasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang menyediakan sokongan teknikal untuk pilihan raya.

Indonesia mempunyai tiga zon waktu. Pengundi mempunyai tempoh enam jam untuk mengundi bermula 2200 GMT pada 13 Februari dan ditutup pada 0600 GMT, 14 Februari.

Pusat mengundi akan diawasi oleh pegawai pilihan raya, ahli parti dan pemerhati bebas untuk perlindungan terhadap manipulasi. Undian mesti ditutup di seluruh negara, sebelum pengiraan boleh dimulakan.

Kerahsiaan membuat pilihan oleh pengundi yang membuang undi adalah terjaga dan pengundi mencelupkan jari dalam dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berganda.

Walaupun kiraan undi rasmi oleh badan pengundian dijangka berlangsung lewat malam pilihan raya, kiraan pantas oleh agensi tinjauan bebas akan memberikan petunjuk keputusan awal.

Parti politik memerlukan empat peratus undi untuk melayakkan diri ke parlimen negara. Calon presiden memerlukan lebih daripada 50 peratus undian keseluruhan, dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di lebih separuh wilayah negara untuk menang.

Selama empat bulan, calon presiden dan perundangan mengadakan kempen di seluruh negara untuk mendapatkan sokongan.

Antara 11 Februari dan 13 Februari adalah tempoh bertenang, apabila tiada kempen dibenarkan, sehingga hari pilihan raya pada 14 Februari.

Keputusan tidak rasmi harus jelas dalam tempoh 24 jam selepas pengundian namun badan tinjauan pendapat kebangsaan hanya akan mengumumkan keputusan muktamad 35 hari kemudian, paling awal. Pertikaian atau aduan mesti difailkan kepada badan pemantau pilihan raya dalam masa itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd