ARAU: Bahagian Arau mengikut jejak langkah Padang Besar dan Kangar apabila sebahagian besar pimpinan jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama 10 ketua cawangan bahagian tersebut mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta.
Peletakan jawatan dan keluar parti itu diketuai Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Arau, Azrul Azhar Abd Ghani; Naib Ketua Bahagian, Som Bun Crem; Ketua Srikandi Bahagian, Nor Azida Mohd Azmi; Ketua Srikandi Muda, Zurin Zainon dan Naib Ketua Armada, Ahmad Safarin Ishak.
Keluar parti itu juga membabitkan keseluruhan jawatankuasa sayap-sayap parti bahagian.
Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Arau, Roshita Buyong berkata, keputusan diambil susulan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan pusat parti berhubung pelantikan pengerusi negeri yang baharu.
“Kami tidak bersetuju dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim sebagai Pengerusi Bersatu Perlis kerana ia dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan kepimpinan di peringkat akar umbi terlebih dahulu.
“Namun, harus dijelaskan bahawa tindakan keluar parti ini juga sebagai protes terhadap keputusan pimpinan pusat, dan bukannya satu bentuk permusuhan terhadap peribadi dengan Izizam,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Sebelum itu, di Padang Besar, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Ramzi Md Udi bersama sebahagian besar AJK termasuk 14 daripada 24 ketua cawangan mengumumkan keluar parti menyertai Wawasan.
Manakala di Kangar, selain pemimpin bahagian dan jawatankuasa sayap-sayap parti, 90 daripada 99 ketua cawangan turut mengambil langkah sama dan membuat keputusan berhijrah bersama Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Dalam pada itu, langkah keluar parti di Arau tidak membabitkan Ketua Bersatu Bahagian, Wan Zaidin Afthar Ishak; Setiausaha Bahagian, Wan Zikri Afthar Ishak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang dan Megat Hashirat Hassan merangkap ADUN Pauh.
Roshita memberitahu, mereka turut mengambil keputusan untuk menyertai Wawasan.-UTUSAN
