am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kerajaan ketika ini giat melakukan penambahbaikan dan pindaan terhadap Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] bagi melindungi pemilik kediaman bertingkat khususnya kediaman strata kos rendah dan sederhana rendah.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha itu dilaksana Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) yang turut mengelola pelbagai sesi libat urus dengan beberapa agensi berkaitan.
“Masalah yang kerap menghantui pembeli skim strata adalah kelewatan dan ketiadaan dokumen hak milik strata dan kita mendapat banyak maklum balas agar perbaiki akta yang sedia ada ini.
“Hal ini bagi memantau dan memastikan skim-skim strata yang sedang atau akan dibangunkan, dapat disediakan dokumen hak milik strata mengikut kehendak perundangan semasa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Mock Title Bagi Skim Desa Seri Maju Padu Apartment, di sini, hari ini.
Selain itu, Nik Nazmi berkata, penubuhan Kumpulan Wang Amanah Tabung Khas Hakmilik Strata (TKHS) pada 7 Februari 2018 dalam menangani isu ketiadaan hak milik strata bagi Skim Bangunan Khas di Semenanjung Malaysia juga banyak membantu.
Antaranya, dana TKHS digunakan bagi penyelesaian pendaftaran hak milik strata yang disebabkan pemaju bermasalah mahupun gulung tikar serta perkara lain mengikut kriteria ditetapkan.
“Sehingga 2024, TKHS sudah membiayai permohonan tujuh skim di pelbagai negeri di Semenanjung dengan dana keseluruhan berjumlah RM2.6 juta.
“Enam skim sudah berjaya didaftarkan hak milik strata termasuk Desa Seri Maju Padu Apartment di Kota Bharu ini,” katanya.
Katanya, 40 pemilik Desa Seri Maju Padu Apartment hari ini menerima hak milik strata bagi unit masing-masing, selepas isu pemilikan strata yang berlarutan 33 tahun sejak 1991 berjaya diselesaikan.
“Ini skim strata kelima yang berjaya didaftarkan hak milik strata dengan pembiayaan dana TKHS. Ia didaftarkan pada 1 Ogos 2024 membabitkan sejumlah RM90,580.48,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




