Pindaan Perlembagaan perlu diikuti peruntukan sama rata – Utusan Digital

KOTA KINABALU: Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu disusuli dengan peruntukan pembangunan yang sama rata antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, rakyat Sabah mahukan pembangunan maka, sebagai rakan sekutu Sabah harus menerima pembangunan sama rata.

“Jika dilihat 60 peratus tanah di negara ini berada di Sabah dan Sarawak dan hanya 40 peratus sahaja di Semenanjung Malaysia. Jika ikut keluasan itu bermakna Sabah dan Sarawak sepatutnya menerima peruntukan lebih besar dari Semenanjung.

“Itu sebabnya saya minta Kerajaan Persekutuan untuk mengambil pendekatan baharu untuk membangunkan Sabah dan Sarawak kerana Sabah sudah ketinggalan agak lama dan perlu pembangunan yang lebih pantas,” katanya semasa sidang akhbar selepas majlis pengiktirafan dan penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, beliau sudah memaklumkan kepada Kementerian Kewangan bahawa projek pembangunan di Sabah tidak sesuai menggunakan tender terbuka sebaliknya menggunakan Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

Misalnya, pembinaan hospital yang berjumlah RM100 juta, biarkan Sabah melantik kontraktor dan apabila pembinaan itu siap, Kerajaan Persekutuan akan membayar kontraktor melalui PFI.

Kaedah pembangunan sebegini telah dilakukan semasa zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri iaitu semasa syarikat Gamuda membina hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut beliau, jika menggunakan konsep tender terbuka proses pembangunan akan menjadi lambat dan ia akan menyebabkan Sabah terus ketinggalan.

Pada Selasa, Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 bagi mengembalikan semula status asal Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia diluluskan sebulat suara oleh ahli Parlimen setelah pengundian pada bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir. Ali Ahmad Hamid. -UTUSAN ONLINE