Pindaan SOSMA dijangka dibentang Jun atau Julai – Saifuddin

Pindaan SOSMA dijangka dibentang Jun atau Julai – Saifuddin

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun atau Julai depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pindaan itu, antara lain akan membuat pengkelasan bagi kesalahan di bawah akta itu, bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan.

Saifuddin berkata, Kertas Kabinet bagi membolehkan kementeriannya memulakan gerak kerja pindaan SOSMA itu, termasuk kajian dan libat urus sudah dibentangkan beliau pada Jumaat lalu.

Beliau menjelaskan, di bawah peruntukan sedia ada, kira-kira 73 kesalahan yang direkodkan di bawah SOSMA diuruskan mengikut satu hala saja, terutama membabitkan Seksyen 13 berkaitan ikat jamin dan Seksyen 30 berkaitan tempoh menunggu prosiding yang lama.

“Kita ada cadangan sehingga diperakukan Jemaah Menteri, kita akan membuat pengkelasan bergantung pada tahap seriusnya kesalahan itu.

“Jika satu tahap kesalahan yang membawa hukuman penjara yang berat, 20 atau 30 tahun misalnya, kita cenderung mencadangkan supaya tidak ada ikat jamin dalam tempoh yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, bagi kesalahan yang hukumannya jauh lebih ringan, penentuan sama ada ikat jamin atau tidak, boleh dilakukan majistret atau dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya. Ini antara perubahan berbanding status sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Saifuddin memaklumkan, KDN juga bercadang mengadakan satu mahkamah khas bagi kes SOSMA, bukan kerana kes itu terlalu serius, sebaliknya disebabkan prosiding kes itu yang mengambil masa terlalu lama.

“Kita mahu mempercepat proses itu kerana kritikan yang paling keras terhadap SOSMA adalah mereka yang terbabit itu, ketika tidak dibenarkan ikat jamin, prosiding yang lama untuk mereka tunggu dianggap sebagai satu hukuman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top