Pindah LPG waktu malam elak dihidu pihak berkuasa

Pindah LPG waktu malam elak dihidu pihak berkuasa

am@hmetro.com.my

Nilai: Sebuah premis di Mantin, di sini, dikesan menjalankan kegiatan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke tong secara haram terutama pada malam bagi mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.

Dalam serbuan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, petang semalam, lebih 150 tong gas bersubsidi ditemui di premis berkenaan.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan itu juga, pihaknya menahan lima lelaki termasuk dua warga asing berusia 28 hingga 58 tahun.

“Serbuan ini dijalankan di bawah Ops Gasak 2025 (Gas Memasak) yang bertujuan membanteras penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi LPG oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Hasil risikan selama seminggu oleh Seksyen Penguat Kuasa, KPDN Negeri Sembilan mendapati premis berkenaan aktif menjalankan kegiatan pemindahan gas bersubsidi ke dalam tong yang tidak dibenarkan.

“Kegiatan itu dilakukan terutamanya pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dalam operasi ini, pasukan serbuan berjaya merampas lebih 150 tong LPG pelbagai jenama dan saiz, peralatan decanting, serta beberapa dokumen perniagaan yang disyaki digunakan dalam urusan penyelewengan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM50,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top