Pinggan licin, juri puji nasi kerabu – Pasukan Kulinari Malaysia 'mendonia' di UAE

Pinggan licin, juri puji nasi kerabu – Pasukan Kulinari Malaysia 'mendonia' di UAE

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan Kulinari Malaysia ‘mendonia’ selepas dinobatkan sebagai juara cabaran makanan warisan kebangsaan dalam Ekspo Kulinari Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2025 Jumaat lalu dengan mempertaruhkan nasi kerabu sebagai hidangan utama.

Pasukan dianggotai tujuh cef iaitu Muhammad Azzam Omar selaku ketua pasukan, Rene Johari (pengurus pasukan), Syafiq Shahrom (pengurus dan mentor pasukan), Azlee Zainon (penasihat pasukan), Yusry Yuzani (kebersihan, kreatif dan logistik), Nabil Eman (penyedia hidangan pemula dan pembuka selera) dan Raihana Adawiyah (penyedia pencuci kuih Melayu).

Kemenangan itu melayakkan mereka menerima pingat, trofi dan sijil penghargaan.

Berkongsi perasaan, Cef Muhammad Azzam Omar, 30, berbangga dengan kemenangan diraih selepas tiga bulan bertungkus lumus membuat persediaan dengan pasukan untuk kejohanan berkenaan.

Muhammad Azzam berkata, pertandingan itu tidak mudah kerana setiap pasukan hanya diberi tempoh tiga jam untuk menyiapkan hidangan sebelum dipersembahkan di hadapan juri.

Katanya, selain nasi kerabu, hidangan lain disediakan untuk penilaian juri termasuk rendang ayam, otak-otak, udang sambal, kuih keria dan kuih Puteri Dua Sebilik.

“Setiap ahli pasukan ada tugas masing-masing dan saya bertanggungjawab menyediakan hidangan utama iaitu nasi kerabu dan rendang ayam.

“Cabarannya kerana juri dari luar tapi ada pengetahuan mengenai masakan Malaysia…tapi syukur kerana mereka suka terutama nasi kerabu sampai licin pinggan dan tak cukup nak hidangkan buat juri kategori lain yang datang.

“Nampak wajah mereka gembira waktu kami hidangkan makanan kerana masakan kita memang istimewa kerana ada campuran pelbagai rasa. Cuma tak sangka sebenarnya dapat juara keseluruhan kerana hanya menyasarkan pingat emas saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, rakan sepasukan, Syafiq Shahrom, 29, turut bersyukur dengan kemenangan itu dan terharu kerana ia mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Katanya, cabaran utama pasukan adalah kerana datang daripada latar belakang dan hotel berbeza namun dapat bersatu dalam membuat persiapan dan menyediakan hidangan pada hari pertandingan.

“Dapur kami bersebelahan dengan pasukan Perancis jadi ‘goyang’ juga waktu hari pertandingan itu. Tapi kami cuba buat sehabis baik untuk sediakan makanan tradisi untuk ketengahkan bersesuaian tema termasuk kuih Puteri Dua Sebilik yang tak ramai tahu.

“Tak sangka pula hidangan kami itu menambah hati juri hingga merangkul gelaran juara sebab biasanya makanan dari Perancis dan Itali yang diagungkan.

“Paling menggembirakan apabila juri makan nasi kerabu bertambah dan boleh tengok mereka suka kerana licin pinggan,” katanya yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang kulinari.

Menurut Syafiq, dia dan pasukan turut berterima kasih kepada kepada Konsulat Jeneral Malaysia Dubai Fadly Amri Aliaman, Tourism Malaysia juga agensi terbabit atas sokongan kewangan serta moral yang diberikan.

Pertandingan tahunan itu menyaksikan penyertaan cef dari 12 negara dengan Syria merangkul naib juara dan Perancis di tempat ketiga.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top