Pinjam adik-beradik, rakan untuk sertai skim pelaburan, rupanya kena tipu lebih RM300,000

Pinjam adik-beradik, rakan untuk sertai skim pelaburan, rupanya kena tipu lebih RM300,000

am@hmetro.com.my

Temerloh: Seorang pekerja ladang kerugian RM301,777 selepas terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Mangsa, lelaki berusia 51 tahun yang bekerja di ladang kelapa sawit di Kuala Krau, bukan sahaja menggunakan wang simpanannya, malah meminjam wang daripada adik-beradik dan rakan-rakannya untuk menyertai skim pelaburan dalam talian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata mangsa mendakwa menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali pada 11 Ogos lalu yang menawarkan peluang pelaburan dalam talian.

“Skim dikenali ‘Prestige Prime’ menarik perhatian mangsa kerana menjanjikan pulangan yang tinggi.

“Mangsa percaya skim itu dapat membantu meningkatkan pendapatannya.

“Mangsa kemudian menekan pautan yang diberikan untuk membuat pendaftaran sebelum diarahkan untuk membuat pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa membuat sebanyak 18 transaksi berjumlah RM301,777 ke dalam sembilan akaun bank berbeza.

“Mangsa menggunakan wang simpanannya selain meminjam wang daripada adiknya dan rakan-rakan,” katanya.

Mohd Nasyim berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas mendapati akaun pelaburannya disekat sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top