PINJAMAN dalam segmen isi rumah kekal mencatat pertumbuhan tertinggi dalam sistem perbankan pada April 2025 dengan peningkatan sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun.
RHB Investment Bank Bhd (RHIB) menerusi satu nota penyelidikan menyatakan bahawa peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam pinjaman kereta yang melonjak 7.2 peratus dan pinjaman gadai janji sebanyak 6.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Dalam masa yang sama, pinjaman perniagaan hanya mencatat pertumbuhan perlahan pada kadar 4.0 peratus tahun ke tahun berbanding 4.3 peratus yang direkodkan pada Mac 2025.
“Antara sektor yang mencatat pertumbuhan pinjaman tertinggi ialah sektor kewangan sebanyak 15.5 peratus dan sektor pengangkutan iaitu 10 peratus,” menurut nota penyelidikan yang disediakan oleh penganalisis, Wan Muhammad Ammar Affan, David Chong dan Nabil Thoo.
Nota itu turut menyatakan bahawa secara tahunan, pertumbuhan pinjaman sistem perbankan adalah lebih rendah iaitu pada kadar 3.1 peratus.
“Oleh itu, kami menurunkan sasaran pertumbuhan pinjaman sistem perbankan bagi tahun 2025 kepada antara 4.5 hingga 5.0 peratus, daripada sasaran asal 5.0 peratus.
“Tiga saham perbankan pilihan utama bagi RHBIB ialah Malayan Banking Bhd (Maybank), Hong Leong Bank Bhd dan CIMB Group Holdings Bhd,” menurut laporan tersebut.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa permohonan pinjaman meningkat sebanyak 7.0 peratus setakat tahun ini, didorong oleh permintaan daripada sektor perniagaan, manakala kadar kelulusan pinjaman pula meningkat 5.0 peratus bagi tempoh yang sama.
“Pengagihan pinjaman pula menurun 1.0 peratus setakat tahun ini, yang berkemungkinan menunjukkan potensi peningkatan pada masa hadapan.
“Sementara itu, kadar deposit tetap 12 bulan terus menyusut kepada 2.69 peratus, manakala kadar purata pemberian pinjaman mencatat penurunan lebih besar sebanyak 44 mata asas kepada 4.92 peratus secara tahunan,” jelas laporan itu.
Dari aspek deposit, RHIB melaporkan bahawa sistem perbankan menunjukkan pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun pada April 2025.
“Pertumbuhan dalam akaun simpanan dan akaun semasa (CASA) sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun terus mengatasi kenaikan deposit tetap iaitu 2.5 peratus.
“Ia didorong oleh peningkatan dalam nisbah CASA kepada 31.2 peratus berbanding 30.8 peratus pada bulan sama tahun lalu,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, RHIB berkongsi bahawa nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) kekal tinggi pada 87.4 peratus meskipun sedikit menurun daripada paras tertinggi 88.1 peratus pada Januari 2025.
“Nisbah liputan kecairan pula terus berada pada tahap kukuh iaitu 155.8 peratus. Data Bank Negara Malaysia (BNM) bagi April 2025 turut menyokong dapatan ini apabila menunjukkan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan khususnya daripada segmen perniagaan.
“Namun, peningkatan deposit serta pertumbuhan kukuh dalam CASA terus menyumbang kepada kestabilan sistem perbankan di samping penambahbaikan berterusan dalam kualiti aset,” katanya.