KUALA LUMPUR: Pintas Utama Sdn. Bhd. meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat apabila menyalurkan sumbangan komputer riba bernilai hampir RM200,000 kepada pelajar daripada keluarga memerlukan bagi membantu memperkasakan pendidikan dan pembelajaran digital kumpulan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama, Datuk Marhalim Mohamed berkata, serahan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha syarikat membantu melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing, khususnya bagi memastikan pelajar mempunyai akses kepada kemudahan teknologi dan pembelajaran digital.
“Kami percaya akses kepada pendidikan terbaik ialah peluang yang sewajarnya diberikan kepada setiap pelajar kerana mereka mempunyai potensi besar untuk mencorakkan masa hadapan negara.
“Dalam persekitaran pendidikan hari ini, komputer riba bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya telah menjadi keperluan penting bagi membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran, melaksanakan tugasan serta meningkatkan kemahiran digital ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumbangan itu disalurkan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan melalui Program Kerjasama
Wakalah dalam satu seminar kecemerlangan SPM 2026 – Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBBP) Zon Tengah, di Ipoh, Perak semalam.
Katanya, sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen Pintas Utama dalam memastikan manfaat daripada pelaksanaan wakalah zakat dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan secara berkesan, sekali gus membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan kemudahan pembelajaran.
Pada masa yang sama, Pintas Utama turut terlibat dalam pelaksanaan beberapa projek infrastruktur, khususnya melibatkan kerja penyelenggaraan dan pembaikan cerun serta pembangunan sistem pembentungan.
Marhalim berkata, pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya dilihat daripada aspek infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat.
“Sebagai syarikat yang turut terlibat dalam pelaksanaan projek infrastruktur di Perak, kami melihat tanggungjawab kepada komuniti sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Infrastruktur yang baik perlu disokong oleh masyarakat yang mempunyai akses kepada pendidikan, peluang dan kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya. – UTUSAN

