Pintu cermin bank pecah pengawal keselamatan terlepas tembakan

Pintu cermin bank pecah pengawal keselamatan terlepas tembakan

mhafis@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: Cermin di bahagian pintu masuk sebuah bank di Kota Damansara, di sini, pecah selepas pengawal keselamatan terlepas tembakan ke lantai, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Solehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 10.13 pagi ini daripada orang awam yang terdengar bunyi tembakan dari premis berkenaan.

Menurutnya, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan mendapati seorang pengawal keselamatan berusia 50-an yang menggunakan senjata ‘pump gun’ terlepas tembakan ke lantai sehingga cermin pintu masuk pecah.

“Kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

“Ujian saringan air kencing dilakukan suspek juga negatif dadah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah.

“Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd