Pintu hati Kien Keat sudah tertutup sertai BAM

Pintu hati Kien Keat sudah tertutup sertai BAM

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas jaguh beregu lelaki negara, Koo Kien Keat mendakwa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi layanan kelas berbeza terhadap jurulatih tempatan dari segi bayaran dan ia membuatkan beliau menutup hati sepenuhnya untuk menyertai barisan kejurulatihan badan induk itu.

Jelas Kien Keat, BAM lebih sanggup membayar nilai tinggi kepada jurulatih luar negara berbanding bakat tempatan dan situasi itu membuatkan beliau terasa dengan pendekatan yang diamalkan oleh pihak pengurusan.

Justeru, beliau kini lebih memberi fokus kepada kerja hakiki, namun sekiranya BAM sanggup membayar berlipat kali ganda, Kien Keat akan mempertimbangkan tawaran untuk kembali menyertai mereka.

“Saya sudah tidak ada hati untuk kembali ke BAM. Saya serius kerana bukan sekadar kecewa, tetapi saya sudah ada kerja sendiri sekarang. Ketika ditawarkan oleh BAM, saya mengharapkan saya menjadi orang pertama menerima tawaran tinggi untuk memulakan tugas sebagai jurulatih tempatan, tetapi ia tidak berlaku.

“Sebaliknya, BAM lebih suka menawarkan bayaran tinggi kepada jurulatih asing. Kalau dalam peribahasa Cina, kita selalu kata ‘bulan di luar negara nampak lebih bulat’. Di negara sendiri pula, kadang-kadang ia tidak begitu. Tapi itu perkara biasa, memang normal,” katanya.

Selain itu, beliau juga berpendapat seorang jurulatih perlu mempunyai kemampuan untuk melatih dan menunjukkan secara praktikal cara pemain beraksi supaya mereka lebih cepat memahami teknik serta kaedah yang diajar.

“Bagi saya, jurulatih yang bagus mampu turun ke gelanggang dan menunjukkan cara atau teknik permainan. Setiap pemain mempunyai tahap pemahaman berbeza. Saya lebih suka pendekatan praktikal daripada sekadar bercakap atau memberi arahan. Sesiapa sahaja boleh jadi pensyarah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kien Keat memaklumkan kehadirannya di Axiata Arena hari ini hanyalah untuk membantu beregu profesional, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani, bagi menghadapi Terbuka Malaysia minggu ini.

“Untuk kejohanan ini, saya membantu Sze Fei–Izzuddin kerana mereka meminta saya berbuat demikian dan ini bukan tugas sepenuh masa sebagai jurulatih. Saya hanya membantu mereka mendapatkan keyakinan diri semasa beraksi.

“Saya melihat mereka mempunyai beberapa kelemahan teknikal yang perlu diperbetulkan serta kekuatan yang boleh dimaksimumkan, namun yang paling utama adalah aspek mental,” katanya.

Pada pusingan pertama, Sze Fei–Izzuddin akan bertemu pasangan Denmark, Kim Astrup–Anders Skaarup Rasmussen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top