RAMALLAH: Kumpulan peneroka haram Yahudi bertindak melampau dengan membakar pintu masuk sebuah masjid dan menconteng dinding dengan slogan perkauman dalam kejadian di kampung Tel, Tebing Barat semalam.
Memetik laporan agensi berita Anadolu, Kementerian Wakaf Palestin mengesahkan serangan khianat tersebut menyasarkan Masjid Abu Bakr Al-Siddiq yang terletak berhampiran bandar Nablus.
Insiden ini merupakan sebahagian daripada siri keganasan yang semakin meningkat dilakukan oleh peneroka haram Yahudi terhadap penduduk Palestin sejak konflik di Gaza meletus pada 7 Oktober 2023.
Sejak tempoh berkenaan, tentera Israel dan peneroka haram Yahudi memperhebat operasi di Tebing Barat, termasuk di Baitulmuqaddis Timur. Tindakan tersebut merangkumi pembunuhan, penangkapan, perobohan kediaman dan perluasan penempatan haram secara besar-besaran.
Pihak Palestin memberi amaran bahawa langkah-langkah provokasi ini adalah usaha terancang Israel untuk merampas paksa Tebing Barat secara rasmi.
Tindakan itu dilihat bakal melumpuhkan sebarang kemungkinan penubuhan negara Palestin yang merdeka seperti yang digariskan dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat sejak Oktober 2023 telah menyebabkan lebih 1,115 penduduk Palestin terbunuh, mencederakan kira-kira 11,500 lagi.
Hampir 22,000 lagi penduduk telah ditahan.
Sementara itu, perang di Gaza antara Hamas dengan Israel telah mencatatkan angka korban yang sangat ngeri walaupun terdapat gencatan senjata..
Menurut sumber Palestin, lebih 72,000 orang terkorban manakala 171,000 lagi cedera, dengan sebahagian besarnya merupakan wanita dan kanak-kanak.
Keganasan yang berterusan itu turut menyaksikan hampir 90 peratus infrastruktur awam di Gaza musnah sepenuhnya akibat serangan udara dan darat rejim Zionis. – AGENSI




