nurul_husna@mediaprima.com.my
REKAAN pintu pagar rumah yang unik boleh memberi pesona bukan sahaja kepada kediaman, malah kawasan kejiranan.
Dengan rekaan pintu pagar dipenuhi sentuhan estetik, tentu sahaja ia lebih menonjol dan menarik perhatian berbanding yang ‘biasa-biasa’.
Justeru, tidak hairan jika pemilik kediaman sanggup membelanjakan ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan pintu pagar unik.
Berdasarkan pengalaman pengasas ‘Rinacraft’, Ahmad Fazrin Abdul Rahman, 44, dia pernah bertemu pemilik kediaman yang sanggup membayar sehingga enam angka bagi mendapatkan pintu pagar idaman.
Katanya, golongan itu melihat kepentingan pintu pagar sebagai perkara pertama dilihat tetamu yang berkunjung, pada masa sama, sesuai dengan tatarias dalam kediaman.
“Pemilik kediaman, terutama golongan VIP, mahu memiliki sesuatu yang eksklusif sesuai dengan taraf sosial dan gaya mewah kediaman.
“Tentu sahaja pintu pagar iaitu visual pertama dilihat sebaik sampai atau melalui kawasan ke diaman perlu memiliki estetik dan rekaan sesuai dengan gaya hidup mereka.
“Malah, pintu pagar yang hadir dengan rekaan unik juga boleh menjadi tanda jalan penting membezakan antara satu unit kediaman dengan kediaman lain,” katanya.
Beliau yang juga pereka grafik utama untuk pintu pagar unik berkata, sejak enam tahun lalu, ia antara bahagian kediaman yang sering mendapat permintaan untuk dihasilkan.
“Permintaan untuk hasilkan pintu pagar bukan bermusim dan memang ada permintaan setiap bulan.
“Kepakaran atau pintu pagar yang dihasilkan saya berkonsep Islamik, malah sejak enam tahun lalu, tempahan pagar diterima semuanya mengambil kira konsep itu.
“Konsep Islamik ini dihasilkan berdasarkan motif pintu Masjid Nabawi di Madinah.
“Pintu pagar motif itu biasanya tidak menggunakan besi biasa, sebaliknya kombinasi aluminium sebagai kerangka utama, kemudian perincian lain seperti tembaga dan saduran emas 18 karat sebagai terjemahan kepada pintu Masjid Nabawi,” katanya.
Menurut Ahmad Fazrin, dia pernah menghasilkan replika pintu Masjid Nabawi yang besar untuk pagar kediaman.
“Pembuatan pintu pagar dengan rekaan sebegini cukup rumit kerana ia membabitkan kerja seperti menghasilkan acuan untuk menempa tembaga atau saduran emas bagi menghasilkan motif pada pintu.
“Kami pernah siapkan projek pintu pagar yang mengambil masa empat bulan. Panjangnya 7.6 meter dan berketinggian lebih dua meter.
“Kami juga dapatkan khidmat pakar dari Mesir untuk kemasan motif kerawang,” katanya.
Terbaharu, selain motif Masjid Nabawi, beliau turut menampilkan rekaan menggunakan nama keluarga dengan motif jawi untuk mencipta kelainan dalam konsep Islamik yang ditampilkan.
“Kami turut suntik elemen tempatan menerusi penggunaan kayu seperti Merbau, Balau, Nyatoh dan banyak lagi,” katanya.
Bagi perancangan akan datang, beliau merancang untuk mengetengahkan konsep Muji bagi memenuhi permintaan peminat yang sukakan gaya moden dan kontemporari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




