Pintu pesawat terbang: Tujuh penumpang saman Alaska Airlines, Boeing

Pintu pesawat terbang: Tujuh penumpang saman Alaska Airlines, Boeing

PORTLAND – Seorang lelaki California menyifatkan nyawanya dihujung tanduk selepas pintu yang tidak digunakan dalam pesawat Alaska Airlines terbang ketika dalam pertengahan penerbangan.

Semasa kejadian Cuong Tran duduk beberapa inci dari lubang yang ternganga itu.

Katanya, tali pinggang yang dipakai menyelamatkannya tetapi telefon, stokin dan kasutnya tercabut akibat penyahmampatan yang tidak terkawal ketika pesawat berkenaan berada 16,000 kaki di ruang udara Portland.

Cuong adalah antara tujuh penumpang yang telah memfailkan saman terhadap Boeing, Alaska Airlines dan Spirit AeroSystems.

Syarikat-syarikat itu enggan mengulas.

Imej yang dikongsi dalam talian dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) menunjukkan lubang lebar di sisi pesawat Boeing 737-9 Max, dengan topeng oksigen berjuntai dari bumbung pesawat pada 5 Januari lalu.

Dalam siasatan awal, pengawal selia pengangkutan AS mendapati, empat bolt berfungsi menutup pintu pesawat itu hilang ketika pesawat menuju ke Ontario, California.

Tiada seorang pun daripada 177 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Namun Cuong yang duduk di sebelah rakannya satu baris di belakang bahagian pintu yang terbang itu mengalami kecederaan termasuk luka pada kakinya.

Bercakap kepada BBC, Cuong, 40, berkata, ia berlaku sejurus selepas pesawat berlepas ketika dia mahu melelapkan mata.

“Kapten berkata kami telah melepasi 10,000 kaki. Kemudian pintu itu terbang dan saya ingat badan saya terangkat ke atas.

“Kemudian seluruh bahagian bawah badan saya disedut ke bawah oleh angin yang menderu.

“Ia mungkin kali pertama dalam hidup, saya mempunyai perasaan tidak mengawal segala-galanya. Saya tidak percaya dengan keseluruhan situasi ini,” kata Cuong sambil menambah keadaan menakutkan.

Cuong bersama tujuh penumpang lain telah memfailkan saman terhadap Boeing dan Alaska Airlines untuk mendapatkan ganti rugi yang tidak didedahkan.

Pesawat itu dapat melakukan pendaratan cemas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Portland dan penumpang diberi bantuan kecemasan.

Cuong berkata, walaupun syarikat penerbangan mengambil masa 30 minit, tetapi ia terasa cukup lama.

Plaintif menuntut ganti rugi punitif, pampasan dan am tetapi tidak menyatakan jumlah tuntutan.

Spirit Aerosystems, Boeing dan Alaska Airlines berkata, ia tidak akan mengulas mengenai litigasi yang belum selesai.

Peguam Timothy A Loranger memberitahu BBC, proses litigasi boleh mengambil masa “beberapa tahun” kerana terdapat ramai orang yang terlibat. – Agensi