redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Jurutera Marin Malaysia (PJMM) menggesa syarikat perkapalan menitikberatkan keselamatan atas kapal supaya insiden seperti letupan membabitkan sebuah kapal berhampiran pelantar minyak di Bintulu, Sarawak awal pagi semalam, tidak berulang.
Naib Pengerusinya, Al-Ahmad Shah Abdul Kadir berkata, insiden seumpama itu menyedihkan kerana mengakibatkan kematian dua pekerja.
Al-Ahmad Shah juga berharap siasatan terperinci bagi mengetahui punca sebenar dan memastikan kru kapal tidak dipersalahkan dalam insiden berkenaan.
“Difahamkan, insiden itu adalah yang pertama di negara ini. Letupan menyebabkan tiga cedera parah hingga dua meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Sementara seorang lagi melecur hampir 80 peratus jadi bagi pihak persatuan, saya menzahirkan dukacita atas apa yang berlaku dan takziah buat waris mangsa.
“Dua mangsa yang meninggal dunia bukan ahli persatuan namun kita tetap membuka tabung sumbangan kerana mengenangkan mereka pekerja di bahagian enjin. Saya dimaklumkan persatuan lain pun buat kutipan untuk membantu meringankan beban waris,” katanya ketika dihubungi Harian Metro dan turut mengulas ringkas mengenai insiden berkenaan di TikTok miliknya.
Dalam pada itu, Al-Ahmad Shah berharap pelaut di negara ini mendaftar sebagai ahli PJMM selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Persatuan Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL) yang boleh membantu membela nasib mereka seandainya berlaku perkara tidak diingini.
“PJMM ditubuhkan sejak 2019 dan setakat ini mempunyai 300 ahli aktif di seluruh negara.
“Jumlah itu masih sedikit mungkin kerana belum ada kesedaran untuk mendaftar walaupun hakikatnya ahli akan dapat manfaat termasuk bantuan sekiranya berlaku insiden membabitkan mereka ketika bertugas.
“Buat masa ini, kita kenakan yuran tahunan RM100, manakala RM1000 untuk seumur hidup dan berharap bilangan ahli akan bertambah,” katanya yang turut mengingatkan syarikat supaya membayar gaji setimpal dengan kerja dilakukan pelaut.
Semalam, Harian Metro melaporkan kes membabitkan dua pekerja maut dan seorang cedera dalam insiden letupan membabitkan sebuah kapal berhampiran pelantar minyak.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhamad Firdaus dan George, manakala Ahmad Zahid yang cedera dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




