mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) tidak pernah mengambil sikap berdiam diri berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya serta isu kemungkinan peletakan jawatan beramai-ramai kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pesuruhjaya Sukan, Arrifin Mohd Ghani berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan rapi terhadap perkembangan kes berkenaan, namun menegaskan sebarang tindakan perlu dibuat secara berhati-hati selaras dengan proses perundangan dan peraturan antarabangsa.
Beliau berkata, FAM ketika ini sedang melalui proses rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan keputusan badan itu perlu dihormati sebelum sebarang langkah lanjut dapat dipertimbangkan.
Katanya, sekiranya keputusan CAS tidak memihak kepada FAM, masih terdapat satu lagi peringkat penting iaitu keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang perlu ditunggu.
“Kita tahu FAM sekarang ini sedang melalui proses rayuan ke CAS. Jadi untuk PJS, kita tunggu dulu semua proses itu dilaksanakan.
“Kalau contoh CAS kekalkan keputusan FIFA, kita kena tunggu pula keputusan AFC.
“Buat masa ini, PJS hanya membuat pemantauan dari segi dokumentasi dan maklumat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Mengulas spekulasi mengenai kemungkinan FAM digantung atau dibubarkan, Arrifin menjelaskan penubuhan persatuan bola sepak baharu tidak dibenarkan selagi FAM masih diiktiraf sebagai badan induk di peringkat kebangsaan.
Beliau berkata, sebarang peletakan jawatan secara beramai-ramai oleh barisan Exco tidak bermakna sebuah persatuan baharu perlu diwujudkan, sebaliknya boleh diselesaikan melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).
“Kalau Exco letak jawatan, mereka boleh buat AGM semula untuk memilih kepimpinan baharu.
“Itu bukan alasan untuk tubuh persatuan lain,” katanya.
Arrifin turut menegaskan Akta Pembangunan Sukan hanya membenarkan satu badan induk bagi setiap sukan di peringkat kebangsaan dan peruntukan itu perlu dipatuhi.
“Selagi FAM tidak dibatalkan pendaftarannya, memang tidak boleh wujudkan persatuan baharu.
“Situasi FAM berbeza dengan kes membabitkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebelum ini kerana FIFA masih mengiktiraf FAM sebagai ahli gabungan,” katanya.
Menurutnya, tindakan FIFA setakat ini hanya berkaitan hukuman terhadap tujuh pemain dan denda kepada persatuan, bukan pembatalan keahlian.
“Kalau ikut statut FIFA, kerajaan memang tak boleh campur tangan, jadi kita kena berhati hati.
“Apa-apa pun, kita tunggu sehingga Mac ini selesai dan selepas itu barulah kita lihat langkah seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




