PKD Mobile platform capaian perkhidmatan kerajaan di luar bandar

PKD Mobile platform capaian perkhidmatan kerajaan di luar bandar

am@hmetro.com.my

Kangar: Inisiatif Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile yang diperkenalkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mampu melahirkan ramai usahawan luar bandar menerusi pelbagai program pemerkasaan dan latihan keusahawanan.

Malah, inisiatif ini juga adalah platform yang membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta ke lokasi sekali gus memudahkan rakyat mendapatkan maklumat, membuat permohonan bantuan serta menerima khidmat nasihat.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pihaknya amat memahami keperluan, malah berusaha menyantuni rakyat, mendengar denyut nadi dan bertindak berdasarkan keperluan sebenar di luar bandar.

Menurutnya, menerusi pendekatan ini, segala dasar yang dirancang oleh kerajaan dapat disesuaikan dengan realiti di lapangan.

“Menerusi kehadiran PKD Mobile di kawasan luar bandar, kita melihat pelbagai manfaat dapat dipertingkatkan terutama dalam melahirkan usahawan luar bandar yang berinovasi.

“PKD pada asasnya memainkan peranan penting secara aktif bagi pemerkasaan komuniti, melalui pelaksanaan lima fungsi atau peranan seperti pelaksanaan latihan kemahiran, program pemerkasaan wanita, aktiviti ekonomi dan kesukarelawan, penyediaan perkhidmatan kerajaan dan sebagai pusat pengumpulan produk-produk usahawan desa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program PKD Mobile Kuala Perlis di Dataran Kampung Tengah, Seberang Ramai, Kuala Perlis, di sini hari ini.

Katanya, terdapat sebanyak 191 PKD di seluruh negara dan ia dilihat masih belum mampu menyantuni semua komuniti desa.

“Sebagai contoh di Perlis, terdapat tiga PKD sahaja iaitu PKD Bungor Kudong Simpang Empat, PKD Felcra Lubok Sireh, Padang Besar dan PKD Kok Klang di Chuping.

“Kalau dibandingkan dengan Sarawak yang berkeluasan lebih kurang 151 kali ganda keluasan Perlis, tetapi hanya terdapat sekitar enam PKD sahaja.

“Maka, KKDW mahu terus memperkasa usaha mendekati masyarakat luar bandar melalui penganjuran PKD Mobile seperti ini bagi memastikan capaian perkhidmatan kerajaan lebih menyeluruh kepada komuniti di kawasan yang sukar diakses,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top