nfazlina@nstp.com.my
KOTA BHARU: Solat Jumaat dan tarawih dibenarkan di masjid serta surau di tujuh daerah di Kelantan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam ini sehingga 29 April.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata bagi solat Jumaat, fardu dan tarawih serta qiamullail di masjid negeri, bandar serta jajahan dibenarkan dengan kehadiran 70 peratus daripada kapasiti keluasan masjid dan surau.
Katanya, masjid mukim, surau dan musolla dibenarkan dengan kehadiran 50 peratus mengikut kapasiti sebenar dengan penjarakan fizikal satu meter dan boleh dilaksanakan lapan rakaat dengan tidak lebih 45 minit, tidak termasuk solat Isyak.
“Kebenaran solat fardu, tarawih dan Jumaat serta aktiviti pengimarahan masjid di tujuh daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang dan Bachok mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Bagaimanapun, tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat, manakala tazkirah subuh, asar, tadarus al-Quran dan lain-lain adalah dibenarkan dengan kapasiti yang dibenarkan.
“Jamuan berbuka puasa, bersahur dan moreh juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun, masjid, surau dan musolla boleh menyediakan menu berbuka, bersahur serta moreh secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.
“Tidak dibenarkan untuk mendapatkan khidmat imam untuk solat sunat tarawih dan penceramah bagi program Ihya Ramadan daripada luar Kelantan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, jemaah digalakkan untuk mengambil wuduk di rumah masing-masing dan bagi jajahan tidak terbabit PKP seperti Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli adalah sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan sebelum ini.
Katanya, MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.
“SOP sebagaimana yang ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musolla.
“Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd