PKPD dan musim banjir: Keperluan asas mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memberi jaminan bekalan barang kawalan dan keperluan asas mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan musim banjir di negeri ini.

Saifullizan Kamarul Zaman, Pengarah KPDNHEP Perak berkata hasil pemeriksaan terhadap semua pemborong, peruncit, dan pasar raya utama mendapati kesemua barangan kawalan dan keperluan asas adalah mencukupi dan mudah diperolehi.

Katanya “Kita meminta semua rakyat untuk tidak panik dalam suasana tidak menentu ini terutama di musim banjir, PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan terhadap Zon B dan Zon C di Taman Meru 2C,”.

Mengulas lanjut beliau berkata KPDNHEP Perak memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan keperluan asas bagi penduduk di dua lokaliti tersebut mudah diperoleh.

Terdahulu beliau mengadakan pemantauan ke atas bekalan barang kawalan berjadual dan keperluan asas membabitkan pemborong dan peruncit di sekitar Jalan Bijih Timah di sini.

Katanya lagi “Pemantauan dilakukan secara berterusan dan setakat ini tiada pemborong atau peruncit yang dikesan menjalankan aktiviti tidak beretika seperti menyembunyikan bekalan atau melakukan kenaikan harga melampau,”.

PKPB dilaksanakan di seluruh Perak bermula 8 November lalu sehingga 6 Disember depan sementara PKPD di Zon B dan C Taman Meru 2C dilaksanakan selama 14 hari bermula 20 November sehingga 3 Disember ini.

Malay News
Farah Fauzi