mahani@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dilaksanakan di Kampung Paya Teh, Jerantut dan Seri Kemunting, Kuantan, bermula lusa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di Kampung Paya Teh, Jerantut dilaksanakan selama seminggu sehingga 23 Mei, sementara di Seri Kemunting, Kuantan dikuat kuasa sehingga 30 Mei.
“Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melaksanakan 54 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti terbabit dengan 35 daripadanya disahkan positif COVID-19.
“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Paya Teh, Jerantut, Pahang berkuat kuasa mulai 17 sehingga 30 Mei.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin, serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengenai PKPD Seri Kemunting, Kuantan, Pahang pula, beliau berkata, ia dilaksanakan berikutan hasil 62 ujian saringan yang dilakukan KKM ke atas penduduk di lokaliti itu mendapati 16 daripadanya disahkan positif COVID-19.
“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.
“Justeru hasil penilaian risiko bersama pelbagai agensi, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Seri Kemunting, Kuantan, yang Pahang berkuat kuasa 17 Mei sehingga 30 Mei depan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD turut dilaksanakan di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah, berikutan peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.
“Sehingga hari ini, KKM mengesan sebanyak 17 kes positif hasil daripada ujian saringan dilakukan ke atas 34 individu di lokaliti terbabit.
“PKPD itu berkuat kuasa 17 Mei sehingga 30 Mei depan bagi menjalankan pengesanan awal dan menyekatkan penularan jangkitan ke kawasan luar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




