PKPD di Sarawak, Kg. Emperoh tamat, Kg. Tringgus bermula esok

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Bahagian Kuching, Sarawak akan ditamatkan mulai esok.

Ini berikutan kerajaan berpuas hati dengan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa daripada 368 ujian saringan, secara kumulatifnya sebanyak 28 kes telah direkodkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM juga telah mengesahkan terdapat penurunan kes, manakala kluster adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di lokaliti ini esok,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, bagi lokaliti Kampung Tringgus, Bau, Bahagian Kuching akan dikuatkuasakan PKPD selama dua minggu mulai esok kerana situasi Covid-19 di kampung itu peningkat.

Beliau berkata, sehingga hari ini, KKM telah melaksanakan 596 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 37 kes positif telah direkodkan.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Tringgus, Bau, Bahagian Kuching, Sarawak bermula 8 hingga 21 Mac ini,

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, kerajaan juga terpaksa melanjutkan tempoh PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah selama dua minggu sehingga 22 Mac ini.

Katanya, sehingga kini, KKM telah melakukan 319 ujian saringan dan daripada jumlah itu 26 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Jelas beliau, KKM mengesahkan masih terdapat 181 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan kes positif masih dilaporkan di lokaliti itu. – MalaysiaGazette

Scroll to Top