PKPD Kampung Juara dilanjutkan sehingga 20 April – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin, Pahang selama dua minggu lagi sehingga 20 April ini.

Mengikut jadual asal, tarikh tamat pelaksanaan PKPD itu pada esok 6 April, tetapi memandangkan masih terdapat penularan jangkitan dalam kalangan penduduk kampung itu, maka tempoh dilanjutkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan 513 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 53 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Kata beliau, KKM mengesahkan masih terdapat penularan jangkitan dalam kalangan penduduk di kampung tersebut dan sebanyak enam kes baharu telah direkodkan semalam.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin, Pahang bermula 7 April hingga 20 April ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, semalam seramai 1,158 warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, lima didapati positif Covid-19.

Secara kumulatifnya, kata beliau, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 672,766 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 34,873 majikan.

Daripada jumlah itu juga, seramai 10,148 orang disahkan positif Covid-19, manakala 662,618 lagi negatif.

“Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik telah terlibat dengan program saringan ini dan seperti yang telah diumumkan, ujian saringan Covid-19 diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, tugasan pemantauan dan pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.

Menurut beliau, semalam, KPDNHEP telah membuat 769 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada peruncit (596), pemborong (142) dan pengilang (31).

KPDNHEP juga telah melakukan 1,805 pemeriksaan khas dan semua premis didapati mematuhi SOP. – MalaysiaGazette