PKPD lokaliti di Sabah, Sarawak dan Kelantan

PKPD lokaliti di Sabah, Sarawak dan Kelantan

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di tujuh lokaliti di Sabah serta dua di di Sarawak dan satu di Kelantan, selama 14 hari bermula esok.

PKPD di Sabah membabitkan Sekolah Menengah Agama di Kota Kinabalu selain Kampung Bikang, Kampung Kadumu dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu serta kawasan perumahan iaitu Taman Hilltop, Taman Bukit Bintang dan Taman Berkley di Tawau.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata turut dikenakan PKPD Taman Mesra Bako, Kuching dan Kampung Tengah, Betong serta Sekolah Menengah Sains Machang.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu akan dilanjutkan selama 14 hari lagi mulai Isnin ini.

Keputusan itu dibuat susulan Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan masih berlaku penularan jangkitan COVID-19 secara berterusan dalam kalangan penghuni asrama universiti itu.

“Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di UMS membabitkan Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Tun Fuad serta Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae dan kemudian meliputi keseluruhan kampus UMS.

“KKM hingga kini melaksanakan 4,524 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 28 kes positif COVID-19 direkodkan di lokaliti itu. Terdapat 1,956 sampel saringan jangkitan itu belum mendapat keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di UMS bermula 19 April hingga 2 Mei ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top