zatuliffah@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan bersasar membabitkan peruntukan RM420,000 kepada penduduk di Mukim Kuala Berang dan Mukim Kuala Terengganu yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan sebelum ini menyediakan bantuan bersasar kepada daerah Besut susulan pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula 22 Mei.
Kerajaan negeri juga mengambil maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan sekatan pergerakan menyeluruh di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.
“Saya meminta rakyat untuk kekal bertenang dan sentiasa patuh kepada arahan dan prosedur operasi standard (SOP).
“Usah kita menuding jari sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni sebaliknya marilah kita berganding bahu dan bersatu hati untuk memutuskan rangkaian COVID-19.
“Teruskan bermunajat kepada Allah dan berdoa agar ujian ini segera berakhir dan kehidupan kita kembali normal seperti biasa,” katanya menerusi Facebook.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKPD di Mukim Kuala Berang bermula 29 Mei hingga 11 Jun manakala PKPD di 21 mukim di Kuala Terengganu bermula esok hingga 12 Jun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




