
Daing Muhammad Reduan (kiri) menyifatkan tindakan dan pendirian Rodziah mencetuskan keresahan besar dalam kalangan ahli serta penyokong parti di peringkat akar umbi.
SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ampang mendesak Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail agar meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi Parlimen Ampang kerana didakwa tidak lagi mencerminkan semangat perjuangan serta kesetiaan kepada kepimpinan parti.
Timbalan Ketua Cabang PKR Ampang, Daing Muhammad Reduan Bachok berkata, pihaknya memandang serius sebarang gerakan cuba melemahkan parti dari dalam serta mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, rakyat Ampang memberikan mandat kepada PKR dan PH bukan untuk melihat parti dirosakkan oleh permainan politik dalaman atau tindakan mana-mana individu yang gagal mempertahankan kesetiaan kepada perjuangan parti.
Menurutnya, mandat itu lahir daripada pengorbanan akar umbi, kesetiaan anggota parti serta keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“PKR Cabang Ampang ingin menegaskan bahawa akar umbi Ampang kekal teguh bersama Presiden parti dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana tindakan yang boleh menggugat kestabilan parti serta merosakkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan Reformasi.
“Tindakan dan pendirian Rodziah mutakhir ini telah mencetuskan keresahan besar dalam kalangan ahli serta penyokong parti di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Daing berkata, dalam keadaan parti sedang berdepan pelbagai cabaran politik, tindakan yang dilihat semakin menjauh daripada pendirian dan kepimpinan utama parti hanya menguatkan persepsi bahawa wujud usaha untuk melemahkan perjuangan dari dalam.
Beliau berkata, PKR dibina atas prinsip, pengorbanan perjuangan dan kesetiaan terhadap agenda Reformasi yang dipertahankan sejak sekian lama.
Katanya, sebarang tindakan yang menggugat kesatuan parti, melemahkan keyakinan rakyat atau bercanggah dengan semangat perjuangan Reformasi tidak boleh diterima dan amat mendukacitakan.
“PKR Cabang Ampang tidak akan sesekali tunduk kepada pengkhianatan politik. Kami akan terus bangkit mempertahankan parti, Presiden dan mandat rakyat daripada mana-mana pihak yang cuba merosakkan perjuangan Reformasi demi kepentingan politik peribadi,” tambahnya.


