essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menghormati keputusan rasmi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk berundur daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) seperti diumumkan melalui kenyataan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata sepanjang penyertaan UPKO dalam PH sejak tahun 2019, kerjasama erat dijalinkan antara pimpinan, jentera serta wakil rakyat di pelbagai peringkat.
“Kerjasama itu khususnya dalam memperjuangkan agenda reformasi, tadbir urus baik dan pembangunan inklusif di Sabah.
“Atas dasar itu, PKR Sabah menzahirkan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick serta seluruh kepimpinan dan ahli UPKO atas sumbangan, komitmen dan kebersamaan mereka dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mustapha berkata, PKR Sabah berpendirian bahawa perjuangan untuk mengembalikan hak 40 peratus hasil Sabah, pengukuhan autonomi serta pembangunan sosioekonomi Sabah yang adil tidak harus menjadi punca perpecahan, tetapi sebaliknya menjadi asas penyatuan dalam semangat federalisme yang matang dan saling menghormati.
“PKR Sabah menyeru semua parti, termasuk UPKO, terus meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan serta meneruskan kerjasama dalam ruang kebersamaan yang lebih luas di bawah semangat perpaduan dan reformasi nasional,” katanya.
Terdahulu, Nelson dalam kenyataan berkata, UPKO mengambil keputusan keluar daripada PH berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO, hari ini.
“Mesyuarat itu bertujuan membincangkan agenda ‘Sabah First’ yang menjadi asas perjuangan dan hala tuju kepimpinan parti berkenaan.
“Keputusan itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponen PH,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




