PKS sedia percepat dos penggalak untuk pekerja

PKS sedia percepat dos penggalak untuk pekerja

zahrin@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersedia memastikan pekerja mengambil suntikan dos penggalak COVID-19 dengan segera bagi memastikan perniagaan dapat beroperasi dengan lancar.

Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong, berkata perniagaan tidak mampu untuk bertahan jika sekatan pergerakan dikenakan sekali lagi, meskipun kerajaan sebelum ini sudah memberi jaminan untuk tidak berbuat demikian.

“Namun, kita perlu memastikan terlebih dahulu bahawa perniagaan bersedia dan (pekerja) sudah mengambil suntikan dos penggalak COVID-19. Suntikan dos penggalak perlu dipercepatkan,” katanya kepada BH.

Chee Seong berkata, berdasarkan data terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, jumlah kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kadar kematian akibat pandemik itu adalah rendah dan tidak berada pada tahap yang kritikal.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan

sekatan pergerakan menyeluruh atau memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) seperti gelombang kenaikan kes sebelum ini.

“Tidak perlu lagi sekatan pergerakan diperketatkan. Ia hanya bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh masyarakat dan peserta industri bagi menangani penularan ini.

“Apa yang harus dilaksanakan adalah peserta industri perlu sentiasa menjaga kesihatan pekerja dan pelanggan, dengan menyediakan persekitaran pekerjaan yang selamat. Patuhi SOP sedia ada dan sentiasa memantau jika ada varian baharu yang membimbangkan,” katanya.

Chee Seong berkata, persatuan itu juga sentiasa menyuarakan pandangan dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) berhubung langkah untuk menyeimbangkan keperluan antara mengukuhkan perniagaan dan sistem kesihatan.

“Kami juga menyambut baik saranan MPN untuk membuka sempadan negara dalam tempoh terdekat,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Mohamed Mustakim Manaf, berkata berdasarkan data daripada beberapa negara, sekatan pergerakan tidak berjaya menghalang penyebaran pandemik, terutama varian Omicron.

Justeru, tegasnya sekatan pergerakan penuh bukan satu penyelesaian mutlak kerana negara di Eropah sudah membuka kembali sempadan masing-masing seperti biasa.

“Malaysia juga kini harus beralih ke arah pencegahan COVID-19 melalui suntikan atau ubat anti-virus. Kerajaan perlu memastikan suntikan atau ubat anti virus itu kini mudah didapati di pasaran melalui klinik atau farmasi.

“Paling penting adalah rakyat perlu mengikuti SOP sedia ada. Jika semua rakyat memainkan peranan, maka penyebaran pandemik ini boleh dikawal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top