syafil.syazwan@hmetro.com.my
BAKAT luar biasa golongan mahasiswa kini tidak lagi akan terpendam, sebaliknya bakal digilap ke tahap profesional menerusi penganjuran program pencarian bakat, Bintang Uni-Verse.
Inisiatif terbaharu ini hasil kerjasama strategik pihak universiti bersama Universal Music Malaysia bagi menawarkan platform kepada penuntut untuk menonjolkan kebolehan mereka khususnya dalam bidang nyanyian.
Program rintis ini membabitkan penyertaan lima universiti awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Profesor Dr Azlinda Azman, berkata Malaysia sebenarnya memiliki lambakan bakat seni dalam kalangan generasi muda yang belum diteroka sepenuhnya.
Menurutnya, tinjauan mendapati ramai penuntut menunjukkan minat mendalam terhadap elemen seni seperti muzik, nyanyian, tarian dan teater, merentasi pelbagai bidang pengajian.
“Walaupun ada dalam kalangan mereka tidak mengikuti pengajian formal dalam bidang seni persembahan, mereka sebenarnya memiliki bakat semula jadi yang sangat bernilai.
“Persoalan utama yang timbul adalah bagaimana kita mahu menggilap dan mengembangkan bakat itu ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, Azlinda menegaskan kepentingan kewujudan platform komersial seperti Bintang Uni-Verse mendapat sokongan padu pemain industri seperti Universal Music Malaysia.
Katanya, kolaborasi ini membuka mata penuntut bahawa minat mereka boleh dikembangkan dengan pendedahan terhadap teknologi muzik terkini serta strategi pemasaran yang betul.
“Kerjasama dengan pihak industri mampu membantu universiti meningkatkan kualiti graduan.
“Saya berharap pihak universiti dapat mengambil peluang keemasan ini supaya pelajar dapat dilatih sebaik mungkin, bukan sahaja menyanyi tetapi termasuk dalam aspek pemasaran dan perancangan program yang membabitkan elemen kreatif,” katanya.
Azlinda turut menyentuh potensi penuntut daripada latar belakang akademik yang berbeza untuk menceburi industri ini.
Sebagai contoh, penuntut bidang kejuruteraan boleh mengaplikasikan ilmu teknikal dalam bidang kejuruteraan bunyi, manakala penuntut perubatan yang mempunyai jiwa seni boleh menggunakan muzik sebagai satu kaedah terapi.
Dalam pada itu, program ini turut dilihat sebagai satu pendekatan proaktif dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa.
Katanya, tekanan pengajian dan peperiksaan memerlukan satu saluran yang sihat, dan muzik adalah medium terbaik.
“Ini juga salah satu cara pelajar menjaga kesihatan mental mereka. Niat kita adalah untuk menjadikan seni kreatif sebagai platform bagi menyokong kesejahteraan kesihatan mental pelajar,” katanya.
Berkongsi sisi peribadinya, dia mengakui muzik adalah teman setianya ketika bekerja.
“Sehingga hari ini, apabila saya menghasilkan kertas kerja, saya akan memasang muzik dengan kuat. Saya menikmati pelbagai genre muzik, dan itu adalah sesuatu yang sangat saya hargai.
“Seiring dengan kerjasama strategik ini, saya melihatnya sebagai satu pencapaian yang sangat baik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, pihaknya meletakkan sasaran utama pencarian bakat baharu dalam kalangan penuntut universiti.
Menurutnya, Universal Music sentiasa percaya terhadap kualiti serta potensi pasaran mahasiswa yang dilihat sangat positif dan bertenaga.
Sebagai bukti komitmen, pihaknya menganjurkan empat persembahan percuma setiap tahun bagi mendekati golongan ini.
“Tahun lalu, ketika saya bekerjasama dengan (komposer) LY, dia mencadangkan kami melaksanakan satu inisiatif bersama universiti tempatan.
“Hasil perbincangan itu, kami bercadang untuk meluaskan lagi kempen ini kepada lebih banyak universiti pada masa akan datang bagi memastikan tiada bakat yang tercicir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




