PENGUASAAN dalam platform e-dagang terbukti menjadi talian hayat bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Terengganu untuk terus kekal bersaing dan meluaskan pasaran ke seluruh negara.
Bagi seorang suri rumah dari Kampung Gong Sekolah, Kuala Nerus, Nur Shafiqah Mohd Zaki, 36, penglibatannya dalam perniagaan dalam talian bermula selepas dia menghidap kencing manis ketika hamil (GDM) anak keempat.
Katanya, pengalaman menyertai Kelab Diabetes Malaysia membuka matanya mengenai tepung kacang badam yang kemudiannya dijadikan bahan utama produk ‘Shaf Qie Healthy Snacking’ miliknya.
”Dulu saya ni tak ada siapa kenal. Saya mula berniaga secara luar talian pada 2020 sebelum beralih sepenuhnya ke Shopee pada 2021 ketika musim Covid-19.
”Sistem ini sangat membantu suri rumah seperti saya untuk menambah pendapatan sambil menjaga anak dan sepanjang lima tahun berniaga, saya tidak pernah berdepan isu kehilangan bungkusan pelanggan,” katanya ketika ditemui sempena siri jelajah Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di sini pada Isnin.
Tambahnya, produk kudapan sihat dan mesra diabetes itu kini mendapat tempahan dari sejauh Sabah dan Sarawak selain mengekalkan konsep ‘fresh dari oven’ bagi menjaga kualiti.
Kisah kejayaan turut dikongsi usahawan dari Pulau Ketam, Alif Haikal Hamzah, 36, yang nekad meninggalkan kerjaya selama 10 tahun sebagai pereka kejuruteraan automotif di Shah Alam untuk pulang mengusahakan perniagaan keluarga.
Alif berkata, cabaran ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan lambakan batik cetak murah memaksa beliau beralih ke sektor makanan dan minuman (F&B) menerusi jenama ‘Tepung Qrunchie’.
”Sejak 2018, sebanyak 16,000 pek tepung telah terjual di Shopee. Melalui platform ini, skop kerja lebih teratur dan kita dapat melihat sistem yang jelas selain capaian pelanggan yang lebih meluas dari luar Terengganu,” ujarnya.
Sementara itu, pakar Shopee (ShopeeXpert), Ridhwan Musa berkata, pemilihan Terengganu sebagai lokasi jelajah adalah tepat memandangkan kekangan kos yang tinggi untuk membuka kedai fizikal di negeri itu.
Namun jelas beliau, isu kekangan capaian internet di kawasan luar bandar perlu diberi perhatian serius oleh syarikat telekomunikasi bagi menyokong ekosistem e-dagang ini.
”Kekuatan produk perlu seiring dengan ilmu jualan, termasuk kemahiran melakukan ‘live’ dan komunikasi. Bantuan kerajaan melalui dana baucar juga sangat membantu usahawan kecil untuk bersaing dari segi harga di platform digital.
”Jika boleh, kita mahu modul lengkap selama 12 bulan dilaksanakan bagi memantau kenaikan hasil jualan usahawan secara berkala,” katanya yang memiliki pengalaman selama lima tahun sebagai pakar platform berkenaan.



